Tuntutan Mencari Kebenaran, Segerakan RCI Tabung Haji – Ahmad Shabery

KUALA LUMPUR, 13 Mac – Antara ‘wish list’ yang diutarakan oleh parti ialah menyegerakan penubuhan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) mengenai apa yang dikatakan penyelewengan dalam Tabung Haji (TH), kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Ujarnya, perkara tersebut juga terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) tetapi menteri PH dahulu yang menjaga TH dilihat tidak mahu melaksanakan janji mereka sendiri ketika menjadi kerajaan sebelum ini.

“Tuntutan ini ialah untuk mencari kebenaran. Kalau sekiranya ada indvidu yang bersalah, termasuk semasa kerajaan Barisan Nasional (BN) dulu, hukumlah mereka.

“Siasatan mesti dilanjutkan bagaimana aset-aset strategik TH turut dijual dengan mudahnya semasa PH berkuasa.

“Pencuri yang dikejar, bila turut menjerit “pencuri-pencuri!” boleh menyebabkan orang lupa bahawa dialah pencuri sebenar,” tegasnya dalam satu hantaran di Facebook.

Semalam, dalam satu kenyataan, Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata UMNO akan terus memainkan peranan secara proaktif sebagai agen semak dan imbang terhadap kerajaan baharu bagi memastikan suara dan aspirasi rakyat benar-benar terbela serta mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO mencadangkan beberapa tindakan segera harus diambil oleh kabinet baharu di bawah Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Selain penubuhan RCI tersebut, kerajaan juga harus menilai semula semua keputusan penjualan secara lambak aset-aset strategik negara dan agensi-agensi berkepentingan rakyat, mendesak kes-kes penyelewengan yang dihentikan perbicaraannya oleh kerajaan PH dibuka semula termasuklah kes skandal rasuah terowong dasar laut dan tiga lebuhraya melibatkan pemimpin Dap bernilai RM6.3 bilion.

Selain itu Majlis Kerja Tertinggi UMNO juga mencadangkan agar siasatan dan pendakwaan terhadap mereka yang dikaitkan dengan kes pembunuhan yang menyayat hati melibatkan anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim disegerakan dan mencadangkan agar membatalkan agenda kerajaan PH untuk menubuhkan IPCMC yang sengaja mahu mengongkong dan mengekang tugas dan tanggungjawab pihak Polis DiRaja Malaysia serta membekukan keputusan pemberhentian kakitangan awam berstatus kontrak, dasar pengurangan kakitangan awam dan mengkaji semula dasar yang memastikan kebajikan penjawat awam terbela.

Dalam perkembangan yang berkaitan ulas Ahmad Shabery juga, jawatan Setiausaha Agung dan Ketua Penerangan UMNO ditukar sebaik sahaja pemegang asalnya berada dalam Kabinet menjadi permulaan kepada konsep pemisahan antara parti dan kerajaan.

“Parti bertindak kawal-semak kepada perjalanan kerajaan,” tambahnya. – UMNO ONLINE