Ketua Menteri Melaka Namakan 10 Exco

MELAKA, 13 Mac – Ketua Menteri Melaka Datuk Sulaiman Md Ali hari ini mengumumkan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) Melaka dibarisi 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menyokong gabungan Perikatan Nasional dalam pembentukan kerajaan negeri.

Sulaiman berkata, daripada 17 ADUN yang menyatakan sokongan kepada gabungan itu, ADUN yang dilantik sebagai exco itu terdiri daripada enam ADUN Barisan Nasional, dua ADUN Bersatu, satu ADUN PKR dan seorang lagi ADUN bebas.

Beliau berkata senarai anggota exco kerajaan negeri Melaka itu telah dibentang dan dipersetujui Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Khalil Yaakob pada pertemuan pagi ini.

“Pelantikan dan Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka akan diadakan di hadapan Tuan Yang Terutama (Mohd Khalil) pada 2.30 petang ini,” katanya pada sidang media di Seri Negeri di sini, hari ini.

Isnin lepas, Sulaiman, yang juga ADUN Lendu daripada BN, mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka ke-12 di hadapan Mohd Khalil.

Sulaiman berkata, beliau akan menerajui sendiri portfolio Perancangan Ekonomi, Kewangan, Pembangunan Tanah, Pantai dan Sungai, Pengurusan Air, Hal Ehwal Agama, Perindustrian, Pelaburan, Teknologi, Komunikasi, Multimedia dan Agensi Berkaitan Kerajaan (GLC) dalam barisan exco itu.

Katanya, Datuk Muhammad Jailani Khamis (Rembia-PKR) dilantik Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan; manakala Datuk Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu-Bebas) dilantik Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Kedua-duanya dilihat kekal memegang portfolio sama seperti dalam kerajaan negeri Melaka ditadbir Pakatan Harapan sebelum ini. Dilaporkan Selasa lepas (10 Mac) Lembaga Disiplin DAP telah memecat Norhizam daripada parti itu.

Sulaiman berkata, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen (Paya Rumput-Bersatu) dilantik Pengerusi Jawatankuasa Badan Bukan Kerajaan, Pembangunan Belia dan Sukan; manakala Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas-Bersatu) dilantik Pengerusi Jawatankuasa Negeri di Jabatan Ketua Menteri (Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknikal dan Vokasional, Sains dan Inovasi).

Katanya, bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron (Sungai Udang-BN) dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Daerah Luar Bandar dan Pengurusan Banjir.

Beliau berkata jawatan untuk Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna tidak akan dilantik dan dikosongkan buat masa ini.

Berikut senarai penuh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Melaka:
1. Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan, Pembangunan Tanah, Pantai dan Sungai, Pengurusan Air, Hal Ehwal Agama, Perindustrian, Pelaburan, Teknologi, Komunikasi, Multimedia dan Agensi Berkaitan Kerajaan (GLC) Datuk Sulaiman Md Ali (Ketua Menteri/Lendu-BN)

2. Pengerusi Jawatankuasa Negeri Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar Datuk Seri Abdul Ghafar Atan (Asahan-BN)

3. Pengerusi Jawatankuasa Negeri Pembangunan Daerah, Luar Bandar dan Pengurusan Banjir Datuk Seri Idris Haron (Sungai Udang-BN)

4. Pengerusi Jawatankuasa Negeri NGO, Pembangunan Belia dan Sukan Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen (Paya Rumput-Bersatu)

5. Pengerusi Jawatankuasa Negeri Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Datuk Muhamad Jailani Khamis (Rembia-PKR)

6. Pengerusi Jawatankuasa Negeri Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan Datuk Latifah Omar (Taboh Naning-BN)

7. Pengerusi Jawatankuasa Negeri Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam dan Infrastruktur Datuk Roslan Ahmad (Merlimau-BN)

8. Pengerusi Jawatankuasa Negeri Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu-Bebas)

9. Pengerusi Jawatankuasa Negeri Kesihatan dan Antidadah Rahmad Mariman (Ayer Molek-BN)

10. Pengerusi Jawatankuasa Negeri di Jabatan Ketua Menteri (Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknikal dan Vokasional, Sains dan Inovasi) Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas-Bersatu)

11. Pengerusi Jawatankuasa Negeri, Perpaduan, Perhubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna (Masih kosong) – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.