Dilantik Sebagai Pengerusi Akademi UMNO Malaysia, Sumbangan Kepada Parti Mesti Diutamakan – Dr Shamsul

KUALA LUMPUR, 13 Mac – Bekas Ketua Penerangan UMNO Malaysia Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, beliau dipertanggungjawabkan untuk menggalas sebagai Pengerusi Akademi UMNO Malaysia.

“Saya masih Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan bagi membolehkan saya terus menyumbang pada parti saya dilantik oleh Presiden UMNO dan dimaklumkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO sebagai Pengerusi Akademi UMNO Malaysia.

“Saya akan kemukakan nanti fungsi Akademi UMNO Malaysia setelah berbincang dengan Presiden UMNO Malaysia,” ujarnya dalam satu hantaran di Facebook.

Ulasnya juga, melalui perbincangan dengan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, kesimpulannya beliau perlu menumpukan tanggungjawab sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli, kerana ia merupakan amanah besar pada negara.

“Bagaimanapun tanggungjawab saya kepada parti mesti diberikan keutamaan.

“Maka, dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO Malaysia Presiden UMNO YB DS Zahid Hamidi telah mengumumkan perubahan kepada struktur UMNO Malaysia.

“Tempat saya selaku Ketua Penerangan UMNO Malaysia diambil alih oleh Saudara Shahril Hamdan,” katanya.

Justeru Shamsul mengucapkan terima kasih atas kerjasama semua pihak selama beliau menjadi Ketua Penerangan UMNO Malaysia.

“Kepada pimpinan tertinggi UMNO di semua peringkat terutama Ketua Penerangan UMNO Negeri dan bahagian seluruh negara saya ucapkan terima kasih kerana membantu saya ketika saya menjalankan tanggungjawab.

“Suatu pengalaman yang sangat bernilai bila diamanahkan sebagai Ketua Penerangan UMNO Malaysia ketika UMNO, Barisan Nasional bukan sebuah kerajaan. Kemudian melepaskan jawatan ketika UMNO telah menjadi sebahagian dari kerajaan.

“Saya mohon maaf jika ada kelemahan ketika saya menjadi Ketua Penerangan UMNO Malaysia. Saya yakin Saudara Shahril Hamdan mampu berperanan sebagai Ketua Penerangan UMNO yang baru,” katanya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.