Agenda Rejuvenasi Diteruskan… Penstrukturan Parti Yang Dinamik, Progresif – Pemuda UMNO Pulai

PULAI, 13 Mac – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pulai menyambut baik keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Malaysia yang bersidang Khamis petang dengan membuat pelantikan baharu, atas dasar penstrukturan parti ke arah dinamik dan progresif.

Kata Ketua Penerangannya, Muhammad Shaqib Shahrilnizam, pelantikan tersebut juga berjaya memanifestasikan pemisahan kuasa di antara parti dan kerajaan.

“Serta memberi ruang kepada kepimpinan yang terlibat dalam kabinet Kerajaan Persekutuan untuk memberi fokus terhadap isu dan keperluan rakyat.

“Selain itu, perlantikan terhadap kedua-dua pemimpin dari Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia ini menunjukkan bahawa parti ini bersedia ke arah ekuiti antara generasi atau ‘Intergenerational equity’ yang sering dilaungkan oleh orang muda berkenaan dengan tadbir urus yang muda dan mampan dalam sesebuah organisasi,” tambahnya dalam satu kenyataan.

Ulasnya lagi, Pemuda UMNO Bahagian Pulai juga mengucapkan kepada Datuk Seri Ahmad Maslan yang dilantik sebagai Setiausaha Agung UMNO, Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Shahril Sufian Hamdan sebagai Ketua Penerangan UMNO Malaysia dan Penolong Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Mohd Rais Mohd Yassin sebagai salah seorang Ahli MKT.

Sebelum ini, jawatan Setiausaha Agung disandang oleh Tan Sri Annuar Musa yang kini dilantik menyertai Kabinet kerajaan Perikatan Nasional sebagai Menteri Wilayah Persekutuan manakala Ketua Penerangan pula Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah yang turut dilantik sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli.

Seterusnya tambah Muhammad Shaqib, UMNO berusaha ke arah rejuvenasi parti yang total.

“Hasilnya adalah perlantikan dua orang muda di dalam kepimpinan tinggi telah dilaksanakan dan berharap agar agenda rejuvenasi diteruskan demi menjadikan parti ini relevan dulu, kini dan selamanya,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.