Terus Mara Perkukuh UMNO, Jangan Ulangi Kesilapan Lalu- Fadzli

RAUB, 12 Mac – Ketika negara berhadapan senario politik yang penuh cabaran sehingga berlakunya peralihan kerajaan, Pemuda UMNO Raub terus mara meneruskan agenda parti dengan mendampingi seramai mungkin ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi.

Persidangan Pemuda UMNO Cawangan Tersang 1, 2 dan 3 yang berlangsung malam tadi mendapat suntikan semangat daripada Ketua Pemudanya, Fadzli Mohamad Kamal.

Dalam ucapannya, Fadzli yang juga Ketua Penerangan Pemuda UMNO Pahang menegaskan anak-anak muda perlu bangkit dan tidak mengulangi kesilapan lalu sehingga menyebabkan parti tersungkur pada PRU-14.

Menurut Fadzli, jentera parti perlu mendaftarkan seramai mungkin anak muda sebagai pemilih demi memastikan mereka mampu memenuhi tanggungjawab pada PRU-15 nanti.

Tambah beliau, anak muda perlu bijak menggunakan hak dan kuasa mereka sebagai pemilih untuk menentukan hala tuju mereka.

“Agama, bangsa dan negara perlu dipertahankan walau jasad dan nyawa jadi taruhan. Umpama kata Hamka, jika diam saat agamamu dihina, maka gantilah bajumu dengan kain kafan.”

Jelas beliau lagi, sudah sampai masanya anak muda menjadi penggerak dalam parti dan masyarakat serta menerajui perjuangan UMNO dalam mempertahankan agama, bangsa dan negara.

Terdahulu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO telah menetapkan persidangan UMNO Cawangan bermula pada 15 Februari hingga 19 April 2020, diikuti Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian pada 1 Jun hingga 20 Julai 2020. Seterusnya ialah Konvensyen UMNO Negeri-negeri yang dijadualkan bermula 1 Ogos hingga 15 September 2020 sementara Perhimpunan Agung UMNO 2020 ialah pada 26 hingga 31 Oktober 2020 – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.