Pemuda UMNO Perak Buat Laporan Polis Terhadap Portal Berita

IPOH, 12 Mac – Pemuda UMNO Perak membuat laporan polis terhadap sebuah portal berita kerana didakwa menyiarkan laporan berbentuk fitnah terhadap kepimpinan UMNO negeri, semalam.

Pengerusi Sekretariat Undang-undang Pemuda UMNO negeri, Faridzul Azlan Abdul Sani berkata laporan berita itu mendakwa UMNO negeri, menjadi dalang gerakan membeli Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan bekas exco dalam isu pelantikan menteri besar baharu.

“Laporan yang dibuat adalah palsu, memfitnah dan berunsur jelik ke atas kepimpinan tertinggi UMNO dengan menuduh terdapat sogokan dan tawaran daripada UMNO Perak melibatkan RM7.5 juta seorang untuk membeli ADUN dari Pakatan Harapan.

“Kami percaya laporan itu berniat jahat, provokatif, mencetuskan persepsi negatif dan boleh mengganggu proses pemilihan menteri besar oleh Sultan Perak (Sultan Nazrin Shah) serta menimbulkan pandangan jelik terhadap pemimpin UMNO dan Muafakat Nasional negeri,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Balai Polis Sungai Senam semalam.

Faridzul Azlan yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tambun berkata beliau yang mewakili 24 Bahagian Pemuda seluruh negeri mahu pihak berkuasa serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia mengambil tindakan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1995 ke atas pemilik serta editor portal berita berkenaan.

Selasa lalu, Sultan Nazrin memberi perkenan peletakan jawatan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Besar Perak ke-12 sekali gus menyaksikan jawatan semua exco tergugur.

Pada Isnin, Ahmad Faizal mengumumkan Perikatan Nasional Perak terdiri daripada UMNO, PAS dan Bersatu mendapat sokongan 32 ADUN untuk membentuk kerajaan negeri baharu. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.