Ismail Sabri Mula Tugas Sebagai Menteri Pertahanan

KUALA LUMPUR, 12 Mac – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini secara rasmi memulakan tugasnya sebagai Menteri Pertahanan.

Beliau tiba pukul 9.30 pagi di Dataran Wisma Pertahanan di Jalan Padang Tembak di sini, disambut timbalannya Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz yang turut memulakan tugas rasminya hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Muez Abd Aziz dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Tan Sri Affendi Buang serta panglima-panglima perkhidmatan.

Ismail Sabri yang juga Menteri Kanan kemudiannya menerima tabik hormat kawalan kehormatan utama daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja diketuai Mej Mohd Izham Ahmad Rashidi.

Sebaik tiba, beliau mengimbas kad sebagai tanda memulakan tugas di kementerian itu dan mengaminkan bacaan doa serta beramah mesra dengan petugas kementerian.

Ismail Sabri dan Ikmal Hisham yang masing-masing dilantik Menteri dan Timbalan Menteri Pertahanan mengangkat sumpah jawatan dan setia serta sumpah simpan rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Istana Melawati di Putrajaya, pada Selasa. – BERNAMA