Drama Politik PH Kedah, “Kadangkala Yang Putik Juga Gugur Sendiri Ke Bumi” – Suraya

ALOR SETAR, 12 Mac – Menginsafi dan mengambil iktibar atas episod-episod politik yang berlaku kebelakangan ini, UMNO Kedah mengambil pendirian untuk ‘tunggu dan lihat’, kata Ketua Penerangannya Datuk Suraya Yaacob.

Ujarnya, bagai dikata PAS Kedah, tidak perlulah melatah dan menjolok buah di dahan, lambat laun ianya akan gugur bila tiba masanya di mana buah yang ranum di dahan lebih sedap dinikmati berbanding buah yang dijolok gugur, selalunya kelat dan kurang manis rasanya.

“Pada UMNO Kedah, buah yang rosak dimamah serangga juga selalunya tidak bertahan lama di dahan. Kadangkala, buah yang putik juga amat mudah jatuh gugur ke bumi khususnya jika dilanda ribut kencang. Bak kata orang Kedah, tidak perlulah di’hinggut’ dahan pokok yang sudah reput akarnya, dengan izin Allah, tidak lama lagi mungkin ia rebah sendiri menyembah bumi.

“Namun begitu, kita tetap bersiap sedia untuk sebarang bentuk perubahan tampuk pentadbiran Kerajaan Negeri yang mungkin berlaku pada bila-bila masa.

“Harus ditegaskan bahawa sebarang plot ‘drama politik PH (Pakatan Harapan)’ atau perubahan pentadbiran yang berlaku di negeri ini haruslah selaras dengan lunas perlembagaan, legitimasi perundangan dan perlulah menitik beratkan kepentingan rakyat,” tambahnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Suraya yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO mengulas mengenai senario politik negara kini rentetan daripada terbentuknya Kerajaan Persekutuan yang baharu dari gabungan Perikatan Nasional (PN) di peringkat pusat, yang dilihatnya tidak dinafikan turut memberi kesan kepada beberapa kerajaan negeri di seluruh negara termasuk Johor, Melaka serta Perak, dan dijangka tidak lama lagi berlaku di negeri Kedah.

Jelasnya lagi, tidak dinafikan bahawa Kedah juga turut menerima tempias atas krisis politik tersebut apabila ramai di kalangan rakyat di negeri ini yang ternanti-nanti perubahan yang sama berlaku di peringkat Kerajaan Negeri.

“Namun keterujaan rakyat untuk menyaksikan perubahan itu agak terbantut akibat ‘drama terbaru’ Timbalan Presiden Bersatu yang sekali lagi ‘memberontak’ terhadap Presiden partinya sendiri.

Selain itu katanya yang mesra dengan panggilan Kak Su, UMNO Kedah juga yakin bahawa Muafakat Nasional (MN) Kedah kini sentiasa bersiap siaga dalam ‘mode’ pilihan raya sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya berlaku pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah secara mengejut.

“Dalam keadaan terdesak, kadangkala ‘pengarah drama’ akan jolok sendiri buah di dahan.

“Dalam persediaan MN untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang dijangka berlangsung setahun hingga tiga tahun sahaja lagi, kita difahamkan bahawa proses pembahagian kerusi Parlimen dan DUN di antara UMNO/BN dan PAS hampir selesai.

“Proses pembahagian kerusi MN di Kedah dilihat lebih strategik dan mudah tanpa perlu memikirkan perkongsian kerusi dengan pihak lain,” katanya.

Seterusnya ADUN Sungai Tiang itu juga berpandangan, pihak yang enggan bersama MN dan lebih sayangkan Dap, PKR serta Pan, mereka bolehlah mencuba nasib sebagai calon PH sekiranya masih berminat.

“Dengan pertembungan dua penjuru di antara MN dan PH, kita yakin bahawa rakyat di seluruh negara lebih yakin dengan kemampuan MN berbanding PH.

“Dengan redha Allah, kami yakin mampu menewaskan PH di majoriti Parlimen dan DUN nanti, insya-Allah,” ujar Ketua UMNO Bahagian Pendang itu lagi.

Justeru itu katanya, UMNO Kedah menyeru kepada semua pihak agar bersabar takkan lari gunung dikejar.

“Ayuh kita teguh beristiqamah dalam perjuangan, teruskan usaha, berdoa kepada Allah SWT dan bertawakkal kita berserah padaNya.

“Semoga perjuangan kita mencapai kejayaan yang diredhaiNya, insya-Allah,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.