Ahli UMNO Fokus Mantapkan Cawangan, Komitmen Tinggi Teruskan Perjuangan – Raime

KUALA LUMPUR, 12 Mac – Ketua Penerangan UMNO Negeri Sabah, Datuk Raime Unggi berkata sekarang adalah waktu paling sesuai untuk ahli-ahli UMNO di akar umbi memantapkan perjuangan melalui persidangan cawangan-cawangan parti yang sedang berlangsung di seluruh negara.

Katanya, sebagai ahli UMNO fokus adalah untuk terus memperkuatkan cawangan masing-masing dan memberikan semangat, komitmen serta sokongan moral kepada akar umbi, bahagian dan seterusnya sehingga kepimpinan Pusat.

“Apa yang penting hari ini supaya kita boleh memantapkan cawangan-cawangan dan bahagian secara keseluruhan serta memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pengukuhan. Dalam perjuangan tiada jalan yang pendek, perjuangan ini penuh dengan liku-liku dan kita harus meneruskan jua.

“Usah terlalu konfiden, kadang-kadang ia boleh menjadi jerat kepada kita dan boleh melekakan kita semua… lama-lama cawangan terabai dan ahli tidak ada hala tuju.

“Saya berharap kepada semua cawangan-cawangan yang bersidang supaya lebih mengutamakan ahli-ahli di peringkat cawangan kerana cawangan yang menjadi ‘benteng’ pertama parti untuk menghadapi sebarang kemungkinan akan berlakunya Pilihan Raya Umum (PRU) apatah lagi dalam keadaan politik yang tidak terjangka,” katanya kepada UMNO Online.

Raime yang juga Ketua UMNO Bahagian Tenom menjelaskan, ketua-ketua cawangan juga mempunyai tanggungjawab dalam memastikan semua ahli-ahli UMNO masih setia lantaran ahli UMNO mempunyai moral yang tinggi untuk memberikan sokongan yang penuh kepada parti keramat ini.

“UMNO ada sistemnya tersendiri, UMNO ada jenteranya sendiri, ada kerangkanya tersendiri dan rakyat melihat UMNO adalah sebuat parti yang lengkap melengkapi antara satu sama lain daripada cawangan hingga ke Pusat. Ini tidak boleh dinafikan struktur ini kalau dibandingkan dengan parti-parti lain yang tidak ada sekukuh macam parti UMNO,” tegasnya.

Dalam pada itu, Raime menyanggah pendapat yang mengatakan bahawa UMNO Sabah ini lesu dan tidak bermaya.

“Mereka yang diluar beranggapan UMNO Sabah pada mulanya tidak bermaya dan lesu apabila berlakunya tsunami politik PRU lalu, tapi nampaknya semakin hari semakin bertambah kekuatan UMNO Sabah dengan semangat yang padu.

“Dalam liku-liku perjuangan UMNO Sabah ini bukannya melihat pada jalan yang pendek mahupun singkat, kita harus melalui perjalanan yang begitu jauh. Ini terbukti apabila menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis dan itulah kekuatan kita,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, UMNO Sabah akan memastikan semua cawangan-cawangan UMNO bertambah mantap dan mempertahankan maruah parti.

“Sekarang ini soal maruah parti dan bagaimana UMNO boleh berkhidmat kepada rakyat seperti mana UMNO pernah menjadi kerajaan terdahulu,” tegasnya lagi.

Dilaporkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO telah menetapkan persidangan UMNO Cawangan bermula pada 15 Februari hingga 19 April 2020, diikuti Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian pada 1 Jun hingga 20 Julai 2020. Seterusnya ialah Konvensyen UMNO Negeri-negeri yang dijadualkan bermula 1 Ogos hingga 15 September 2020 sementara Perhimpunan Agung UMNO 2020 ialah pada 26 hingga 31 Oktober 2020 – UMNO ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.