UMNO-PAS Perkukuh MN Disemua Peringkat Demi Agama, Bangsa Dan Negara- Mustapha

KUALA LUMPUR, 11 Mac – Muafakat Nasional yang termetrai antara UMNO dan PAS bukan hanya dirasai diperingkat atasan tetapi juga melibatkan akar umbi semua peringkat termasuklah golongan veteran kedua-dua parti berkenaan.

Pengerusi Perhubungan Veteran UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Mustapha Yaakub berkata Veteran UMNO akan terus mempereratkan hubungan ukhwah bersama As-Sabiqun PAS.

Jelas beliau, inilah masanya untuk veteran UMNO dan As-Sabiqun bertaut kasih setelah lebih 60 tahun berpisah dan kali ini dapat bersama-sama dengan suasana penuh kesyukuran.

“Biduk lalu kiambang bertaut, yang jauh kita dekatkan yang dekat kita eratkan lagi… inilah masanya Veteran UMNO dan As-Sabiqun dapat bertaut kembali dan bekerjasama demi masa depan agama, bangsa dan negara.

“Insya-Allah … yang telah terurai akan kita ikatkan balik… yang sudah ada dalam genggaman akan diperkemaskan lagi dan ini dapat dilakukan bersama,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Tautan Kasih Veteran UMNO dan Assabiqun PAS Wilayah Persekutuan, yang berlangsung di Menara Dato’ Onn, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Pengerusi Sidang Assabiqun PAS Wilayah Persekutuan, Abdul Halim Hasan; Setiausaha Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Ramlan Askolani, bersama barisan kepimpinan tertinggi Veteran UMNO dan PAS Wilayah Persekutuan.

Tambah Mustapha lagi, sasaran utama veteran UMNO dan As-Sabiqun adalah Pilihan Raya Umum (PRU) 15.

“Dengan sokongan dan dorongan dari semuanya, PRU 15 adalah sasaran utama. Insya-Allah… kita akan berjaya mengekalkan dan merampas balik apa yang telah hilang sebelum ini,” ujarnya.

Sementara itu menurut Pengerusi PAS Wilayah Persekutuan, Azhar Yahya menjelaskan agenda-agenda kebaikan sejagat adalah sangat berguna kepada rakyat yang bukan Islam.

“Kita harus merangka gerak kerja dengan masyarakat yang majmuk, maka perlulah membawa agenda yang non-muslim perlu ketahui iaitu agenda kebaikan sejagat.

“Dalam Muafakat Nasional ini sangat jelas dengan maksud kebaikan sejagat kepada seluruh manusia dan tidak akan meminggirkan non-muslim. Kita harus memahami dan menerima takdir Allah bahawa bumi ini berkongsi dengan bukan Islam,” tegasnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.