UMNO Harus Kuat Dan Kukuh, Bergerak Lebih Tersusun Untuk Martabat Parti – Rahman

KUALA LUMPUR, 11 Mac- Ketua Penerangan UMNO Negeri Selangor, Datuk Abdul Rahman Bakri berkata, dalam situasi politik semasa, ahli UMNO perlu bekerja dengan kuat dan memerlukan pengorbanan dalam pelbagai bentuk bagi membantu parti.

Jelas beliau, pengorbanan dan taat setia anggota parti perlu diletakkan pada kedudukan yang tertinggi bagi memartabatkan semula parti menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 yang akan datang.

“Kita mengharapkan mesyuarat cawangan UMNO yang sedang berlangsung di semua kawasan agar dapat berjalan dengan baik dan lancar. UMNO harus kukuh dan kuat dari akar umbi untuk memastikan parti terus bergerak dengan lebih tersusun,” katanya kepada UMNO-Online di sini, hari ini.

Beliau seterusnya menambah ahli parti terus perlu bersatu padu dan pada masa yang sama terus meningkatkan kerjasama antara satu dengan yang lain di semua peringkat.

“Kita perlu sentiasa bertoleransi serta memahami parti dan apabila ini berlaku sudah pasti UMNO akan terus menjadi kuat.

“Kita utamakan parti dari kepentingan individu dan saya yakin … Insya-Allah parti UMNO akan terus kukuh dan kuat pada masa akan datang,” tambahnya.

Tambah beliau lagi apa yang membanggakan kesediaan ahli parti di peringkat cawangan yang masih terus istiqamah untuk sama-sama menjayakan persidangan peringkat cawangan.

“Yang penting bukannya jamuan makan dan minum tetapi kehadiran ahli-ahli kita yang terus menerus memberikan sokongan dan juga sebagai tanda memenuhi kehendak Perlembagaan UMNO untuk menghidupkan semula cawangan-cawangan,” tambahnya lagi.

Sementara itu Rahman turut menyokong kerjasama UMNO dan PAS dalam Muafakat Nasional terus diperkukuhkan di semua peringkat cawangan dan negeri .

“Muafakat Nasional harus ditekankan dan diperkukuhkan di peringkat cawangan agar ianya terus diperkasa dan dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa,” ujarnya.

Terdahulu, dilaporkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO telah menetapkan persidangan UMNO Cawangan bermula pada 15 Februari hingga 19 April 2020, diikuti Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian pada 1 Jun hingga 20 Julai 2020. Seterusnya ialah Konvensyen UMNO Negeri-negeri yang dijadualkan bermula 1 Ogos hingga 15 September 2020 sementara Perhimpunan Agung UMNO 2020 ialah pada 26 hingga 31 Oktober 2020 – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.