Tutup Salah Sendiri Tak Tahu Perintah, PH Tuduh Kerajaan Baharu ‘Rampas Kuasa’ – Johari

KUALA LUMPUR, 11 Mac- Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata sebenarnya Pakatan Harapan (PH) tidak tahu memerintah negara dan hanya tahu komen sahaja.

Katanya, PH hanya bergaduh sesama sendiri dan akhirnya negara terbiar, ekonomi merudum, hutang bertambah, tukaran wang asing dan pasaran saham jatuh, tiada siapa yang jaga negara tetapi yang sibuk siapa hendak menjadi Perdana Menteri (PM).

“Apa yang jadi selama 22 bulan ini menjadi iktibar kepada kita terutamanya UMNO dan PAS. Kalau kita diberi peluang mentadbir negara dan bergasak sesama kita serta kejar jawatan… ia tidak akan kekal lama, dan hari ini sudah terbukti.

“Ahli Parlimen UMNO dan PAS cuma ada 60 kerusi sahaja, macam mana boleh tubuh kerajaan? Pokok pangkalnya yang bergasak adalah sesama PH,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Tautan Kasih Veteran UMNO dan Assabiqun PAS Wilayah Persekutuan, di Menara Dato’ Onn, di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Perhubungan Veteran UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Mustapha Yaakub; Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Azhar Yahya; Pengerusi Sidang Assabiqun PAS Wilayah Persekutuan, Abdul Halim Hasan dan hampir dua ratus peserta yang mengikuti majlis tersebut.

Tambah Johari lagi, isu PH bergasak ini memperlihatkan bahawa rakyat semakin menyampah dengan Dap kerana tidak tahu mentadbir negara dan negara menjadi rosak khususnya dari sudut ekonomi.

“Sebenarnya PH tidak ada siapa yang tumbangkan, PH ini malu kerana tumbang dan menuduh UMNO-PAS merampas kuasa… dekat mana UMNO dan PAS rampas kuasa ini?

“Dulu kita kalah disebabkan naratifnya kerajaan ‘pencuri’, sebenarnya tidak ada kerajaan pencuri kalau ada pemimpin-pemimpin tertentu yang bersalah diambil tindakan. Hari ini kita dikata curi kuasa… bila kita curi kuasa? UMNO dan PAS menyelesaikan masalah yang lebih besar kerana kalau berterusan maka negara akan hancur.

“Kita jangan terpedaya dengan dakyah orang bahawa UMNO dan PAS curi kerajaan PH, kita tak pernah niat untuk mencuri. Kerajaan ini adalah berbentuk sementara dan sebab itu UMNO dan PAS jangan lari dari matlamat utama iaitu memenangi PRU-15 dan mendapat kuasa secara mutlak,” katanya lagi.

Sehubungan itu, katanya, veteran ada peranannya supaya tiada orang termakan naratif PH yang mengatakan bahawa UMNO dan PAS mencuri kuasa.

“Dulu PH tuduh kerajaan curi duit, kalau betul curi duit kena ikut proses mahkamah. Sekarang buat pertama kalinya UMNO dan PAS akan pergi ke medan politik bersama-sama sebagai satu pasukan yang mempunyai tujuan dan matlamat yang sama iaitu membangunkan agama, bangsa dan negara.

“Sekarang ini kita tutup erat-erat dan jaga Mufakat Nasional ini untuk memastikan PRU-15 ini yang menguasai kerajaan Persekutuan adalah MN,” ujarnya lagi. –UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.