Noraini Mahu Kemudi KPT Selaras Dengan Amanah Perdana Menteri

PUTRAJAYA, 11 Mac – Menteri Pengajian Tinggi yang baru dilantik, Datuk Dr Noraini Ahmad bertekad untuk mengemudi kementerian itu selaras dengan apa yang diamanahkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Berterima kasih kepada Muhyiddin yang memberi kepercayaan kepadanya untuk memimpin kementerian itu, Noraini berkata Perdana Menteri mahukan gerak kerja menjadi lebih fokus sejajar dengan langkah pengasingan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

“Insya-Allah kita akan cuba untuk mencapai apa jua yang diamanahkan oleh beliau,” katanya kepada media ketika memasuki pejabatnya di KPT semalam selepas menghadiri istiadat mengangkat sumpah di Istana Melawati.

Noraini mahu melihat prestasi pengajian tinggi meningkat di peringkat antarabangsa dan dalam negara.

Katanya beliau akan mendengar taklimat daripada ketua setiausaha kementerian mengenai hala tuju kementerian itu.

Noraini telah meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen berkuat kuasa hari ini selepas dilantik sebagai Menteri Pengajian Tinggi.

Ahli Parlimen Parit Sulong itu menerusi satu kenyataan memaklumkan surat peletakan jawatan sudah dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.