Kerosakan PH… Kerajaan PN Diminta Laksana Penukaran IC Tangani Pengundi ‘Tipu’

JELUTONG, 11 Mac – Sepanjang 22 bulan Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara, terlalu banyak kerosakan dan kemusnahan yang dilakukan sehinggakan ada sahaja isu yang timbul dan dipertikai oleh rakyat berkaitan tindak-tanduk mereka.

Antara yang menjadi persoalan rakyat adalah dakwaan berkaitan penjualan kad pengenalan Malaysia kepada warga Cina.

Justeru, Ketua UMNO Bahagian Jelutong Datuk Abdul Razak Abdul Rahman mencadangkan kepada kerajaan baru di bawah pimpinan Perikatan Nasional (PN) untuk melaksanakan penukaran kad pengenalan warga Malaysia.

Jelas beliau, ini adalah bagi memastikan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) berlangsung dengan baik dan isu ‘pengundi tidak sah’ tidak timbul.

“Tentu rakyat masih ingat tentang dakwaan kebanjiran pelancong dari Tanah Besar China, sistem ‘down’ di KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) dan pelbagai pendedahan warga Singapura dan China yang tiba-tiba mendapat kad pengenalan biru. Amat sukar untuk kita mendapatkan pengesahan atau bukti terhadap segala pendedahan ini.

“Namun apabila pihak Imigresen Pulau Pinang sendiri berjaya mengesan sindiket yang menjual IC (kad pengenalan) biru kepada 6 orang warga China, segala kerisauan rakyat berhubung usaha menambah jumlah pengundi Cina melalui pemberian kewarganegaraan kepada warga China ternyata munasabah. Inilah kaedah yang dikatakan telah digunakan oleh Singapura untuk menambah jumlah rakyat berketurunan Cina berbanding Melayu.

“Sebab itu saya merasakan kerajaan baru ini perlu mengambil tindakan menukar IC bagi memastikan masalah ini dapat diatasi. Kita mahukan pilihan raya bersih dan telus. Apa yang dilakukan oleh PH semasa mentadbir negara kita tidak tahu tapi tidak mustahil ‘projek IC’ ini berlaku,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Razak, laporan Audit Negara 2018, yang menyatakan, tiada laporan keluar seramai 95 peratus pelancong China yang melibatkan hampir 100,000 orang turut membimbangkan.

“Ini semua terjadi semasa pentadbiran PH malah PH juga meluluskan kemasukan pelancong China tanpa visa walaupun sedar bahawa masalah pelancong warga China tidak meninggalkan negara ini amat tinggi.

“Jadi apa penyelesaian bagi masalah ini terutama masalah yang bakal timbul pada pilihan raya nanti? Tukar IC,” tegas beliau lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.