Kerajaan Baharu Sah Dan Berperlembagaan, Kata Muhyiddin

PUTRAJAYA, 11 Mac – Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mempengerusikan mesyuarat pertama Kabinet kerajaan baharu dengan menegaskan ia adalah sah dan berperlembagaan.

Bercakap pada sidang media selepas mesyuarat itu di sini, perdana menteri berkata ia merupakan kerajaan yang mewakili semua rakyat dan akan berkhidmat dengan baik.

“Kerajaan ini mewakili semua bangsa. Kami akan berkhidmat untuk semua rakyat Malaysia dan kami akan bersikap adil kepada semua rakyat,” katanya.

Muhyiddin berkata beliau turut mengingatkan kesemua 31 menteri yang hadir pada mesyuarat Perikatan Nasional itu tentang komitmen kerajaan untuk memerangi dan menghapuskan rasuah.

Sebagai sebahagian daripada komitmen itu, jemaah menteri diwajibkan untuk mengisytiharkan harta mereka, dan Muhyiddin menetapkan tempoh sebulan untuk mereka berbuat demikian.

Beliau turut menegaskan kepada menteri berkenaan akan komitmen kerajaan untuk berkhidmat kepada rakyat, ambil perhatian kehendak rakyat dan sedar tentang apa yang perlu dilakukan segera.

“Terdapat keperluan mendesak untuk mencari penyelesaian terhadap semua masalah yang dihadapi rakyat,” kata Muhyiddin.

Barisan menteri Kabinet mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Melawati di sini, semalam.

Muhyiddin, 72, mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 1 Mac. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.