Hari Pertama Bertugas Sebagai Menteri Kesihatan, Dr Adham Tinjau KLIA

SEPANG, 11 Mac – Beberapa jam selepas mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba tanpa melengahkan masa turun membuat tinjauan saringan COVID-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Masih lengkap berpakaian baju Melayu hitam serta bersongkok, Dr Adham yang menyedari isu COVID-19 adalah keutamaan kini, tiba di KLIA kira-kira 8.20 malam untuk melakukan tinjauan antaranya kesiapsiagaan petugas kementerian menjalankan saringan serta keberkesanan mesin pengimbas suhu badan di Balai Ketibaan KLIA.

Sebelum ke KLIA, beliau turut diberi taklimat mengenai perkembangan jangkitan COVID-19 di Malaysia, di Kementerian Kesihatan di Putrajaya.

“Saya mahu melihat sendiri proses yang dijalankan petugas kementerian yang terlibat. Di KLIA, mereka bertugas bergilir-gilir 24 jam sehari, tujuh hari seminggu.

“Kita juga menggerakkan petugas di semua lapangan iaitu sempadan jalan darat dan pelabuhan supaya tiada lagi penularan (COVID-19) dari luar negara,” katanya kepada media semasa lawatan itu, semalam.

Turut serta dalam tinjauan itu ialah dua timbalan menteri kesihatan iaitu Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dan Datuk Aaron Ago Dagang serta Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Datuk Seri Dr Chen Chaw Min dan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Dr Adham turut mengemaskini perkembangan kes COVID-19 di Malaysia kepada pihak media antaranya memaklumkan terdapat 25 orang telah discaj kerana telah pulih.

Menurut Dr Adham, antara perkara yang dibincangkan dalam taklimat di Kementerian Kesihatan adalah cadangan menggalakkan orang ramai agar melakukan penjarakan sosial (social distancing) bagi mengurangkan risiko jangkitan COVID-19.

“Penjarakan sosial yang kita galakkan kepada masyarakat adalah dalam jarak satu meter,” katanya, sambil menambah inisiatif itu perlu diambil sendiri oleh individu bagi mengekang penularan COVID-19.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya mengelak tempat-tempat tumpuan orang ramai atau menyertai perhimpunan buat sementara waktu.

Dalam pada itu, Dr Adham berkata Kementerian Kesihatan akan terus menjalankan pengesanan kontak kes-kes positif COVID-19 bagi membendung penularan jangkitan itu.

“Kita mengadakan proses disinfektan di setiap tempat kontak (kes COVID-19), kita cari sampai dapat untuk selamatkan nyawa rakyat kita seberapa yang boleh,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.