Fokus Untuk Rakyat, Tekad Perkukuh UMNO, Muafakat Nasional Dan Perikatan Nasional – Zolkafly

KUALA LUMPUR, 11 Mac – Ketua Penerangan UMNO Negeri Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata ahli UMNO harus memperkasakan parti dan menyusun strategi dalam usaha memperkemaskan lagi UMNO bersama Muafakat Nasional untuk kerjaan Perikatan Nasional.

Tegas beliau Perikatan Nasional yang baru sahaja terbentuk di negeri itu perlu turut dipertahankan dan tumpuan yang berkaitan dengan agenda kepentingan rakyat khususnya kepentingan orang Melayu dan umat Islam mesti dilaksanakan sebaik mungkin serta dimartabatkan.

“Alhamdulillah…. Perikatan Nasional di Perak telah terbentuk dan insya-Allah barisan ADUN Muafakat Nasional akan membantu dan berusaha sebaik mungkin dalam melaksanakan segala tanggungjawab terhadap rakyat di negeri ini. Sudah pasti apa yang utama adalah rakyat,” katanya kepada UMNO-Online.

Zolkafly seterusnya berkata perjuangan parti tentunya tidak akan dilupakan dan sekarang ini UMNO yang sedang dalam tempoh mengadakan persidangan cawangan masing-masing di seluruh negara tentunya akan menjadikan mesyuarat terbabit sebagai medan terbaik untuk perkukuhkan akar umbi.

“Ahli UMNO harus membina dan memperkasakan keyakinan terhadap perjuangan UMNO serta Muafakat Nasional ke arah memenangi PRU-15. Fokus utama ahli parti adalah menumpukan gerak kerja berkumpulan secara terarah dan tersusun. Cumanya kali ini mungkin ada kelainan… sama-sama pertahankan Perikatan Nasional Perak,” tambahnya.

Ulasnya lagi gerak kerja yang berpasukan dan sentiasa bergerak bersama akar umbi adalah kunci kepada pengukuhan dan kekuatan ahli di semua peringkat.

“Semangat memperkukuhkan dan memperkasakan perpaduan ini sangat penting bagi akar umbi UMNO dan pada masa yang sama ia dapat mengeratkan lagi ukhwah.

“Laksanakan segala amanah dan tanggungjawab dengan ikhlas hati kerana Allah untuk agama, bangsa dan negara,” tegasnya.

Untuk rekod, mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO telah menetapkan tarikh persidangan tahunan Cawangan bermula pada 15 Februari sehingga 19 April sementara di peringkat Bahagian akan berlangsung pada 1 Jun hingga 20 Julai ini. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.