Melaka Pastikan Catuan Air Tidak Jejaskan Rakyat Dalam Tempoh Panjang

MELAKA, 10 Mac – Kerajaan Negeri Melaka akan berusaha memastikan catuan bekalan air di negeri ini tidak menjejaskan rakyat dalam tempoh yang panjang khususnya umat Islam menjelang bulan Ramadan ini, kata Ketua Menteri Datuk Sulaiman Md Ali.

Antara langkah jangka pendek yang akan cuba diambil kira untuk dilaksanakan ialah mengurangkan masa atau hari catuan yang dijadualkan namun ia bergantung pada keadaan semasa bekalan air di negeri ini.

“Saya akan ambil tindakan yang munasabah pada masanya… sudah pasti kerajaan negeri hari ini akan mengambil tindakan yang penuh berhati-hati dalam memastikan penduduk akan terus menikmati bekalan air tanpa catuan.

“Bagi saya masa untuk memastikan tindakan ini dapat dilaksanakan dalam masa yang munasabah,” katanya kepada pemberita selepas sesi taklimat bersama pengurusan tertinggi, agensi dan jabatan kerajaan negeri Melaka termasuk Syarikat Air Melaka Berhad di sini, hari ini.

Sulaiman, 54, yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Melaka menjadi Ketua Menteri Melaka Ke-12 menggantikan Adly Zahari yang dilantik Ketua Menteri Melaka Ke-11 pada 11 Mei, 2018.

Beliau hari ini memulakan tugas sebagai Ketua Menteri Melaka selepas melakukan simbolik mula tugas dengan mengimbas jari pada mesin pengimbas kira-kira pukul 8.25 pagi ini di Seri Negeri.

Pada 5 Mac lepas, Syarikat Air Melaka Berhad dilaporkan berkata catuan bekalan air untuk Fasa Ketiga diperluas ke kawasan Zon 2 meliputi tambahan 20 peratus pengguna di daerah Alor Gajah berikutan keadaan cuaca kering berterusan dan ketiadaan hujan yang berpanjangan di kawasan tadahan dan sungai.

Sulaiman berkata beliau dan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Seri Hasim Hasan akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli dalam masa terdekat ini bagi mendapatkan maklum balas berkaitan projek atau inisitif yang boleh dan akan dilaksanakan bagi menangani isu itu.

Isu lain yang dibincangkan pada taklimat ringkas itu ialah usaha yang dilakukan bagi mengekang penularan COVID-19 terutama di pintu masuk negeri dan kesannya kepada sektor pelancongan di Melaka.

“Sektor pelancongan perlu diberi perhatian kerana Melaka adalah sebuah negeri pelancongan dan pada masa sama langkah membendung penularan COVID-19 juga perlu dikuatkuasakan,” katanya – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.