Kerajaan Dan Rakyat Perlu Seiring Majukan Negeri Melaka – Ketua Menteri

MELAKA, 10 Mac – Kerajaan dan rakyat perlu bergerak seiring dalam usaha memajukan lagi negeri Melaka, kata Ketua Menteri Melaka yang baharu Datuk Sulaiman Md Ali.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu berkata, selain itu semua 17 orang ADUN yang telah menyatakan kerjasama membentuk kerajaan negeri Melaka yang baharu, juga harus bergerak seiring bagi merealisasi hasrat itu.

“Pemimpin dan rakyat perlu bergerak seiring. Saya juga melihat kepada pakatan 17 orang (ADUN), lihat semua ADUN datangnya daripada pelbagai (latar belakang). Gabungan ini boleh memberi gerak kerja yang baik.

“Melaka perlukan mereka (17 ADUN) memastikan kerjasama itu (terjalin), yang mana keperluan rakyat itu dapat dilaksanakan,” katanya pada sidang media sulung beliau di Ayer Keroh semalam.

Terdahulu beliau mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-12, pada Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia Serta Sumpah Simpan Rahsia Ketua Menteri Melaka Ke-12, di hadapan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Khalil Yaakob.

Selain 13 ADUN daripada BN, 17 ADUN membentuk gabungan itu ialah dua ADUN Bersatu iaitu Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen (Paya Rumput) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas); serta Datuk Muhammad Jailani Khamis (PKR-Rembia) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (DAP-Pengkalan Batu).

Sementara itu ditanya tentang pelantikan barisan Exco Kerajaan Negeri Melaka, Sulaiman berkata pihaknya akan mengambil kira setiap sudut dan akan meneliti senarai 17 ADUN itu, bagi memastikan semua terlibat dalam menjalankan tugas bersama memajukan negeri Melaka.

Mengulas mengenai isu air di Melaka, beliau berkata pihaknya akan meneliti isu itu esok dan akan berbincang dengan pelbagai pihak, antaranya Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Hasim Hasan, Badan Kawal Selia Air Melaka dan Syarikat Bekalan AIr Melaka.

“Biarkan mereka terlibat berikan dahulu penerangan dan masalah sebenar, selepas itu saya akan ambil tindakan segera dan munasabah (bagi selesaikan isu air),” katanya.

Sementara itu ketika berucap pada majlis ringkas di kampungnya di Masjid Tanah, Alor Gajah dekat sini, Sulaiman berkata pelantikan sebagai Ketua Menteri bukan sesuatu yang mudah, tetapi amanah yang diberikan bagi memimpin sebuah negeri.

“Ini sesuatu yang amat berat bagi saya dan saya tidak melakukan ini seorang diri, melainkan ada sokongan dan dokongan semua. Saya minta kita sama-sama doakan agar dapat kita tadbir negeri ini dengan lebih baik,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.