Kabinet Baharu Gabungan Tokoh Melangkaui Batasan Kaum  Dan Latar Kerjaya – Wan Rosdy

KUALA LUMPUR, 10 Mac – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, atas pengumuman Kabinet Kerajaan Persekutuan Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS), yang dianggotai oleh rencaman tokoh-tokoh yang melangkaui batasan kaum dan latar kerjaya.

Menurut beliau gabungan dan kombinasi menerusi kabinet tersebut dilihat mampu melonjakkan kemajuan serta memelihara kemakmuran negara demi kesejahteraan rakyat-jelata.

“Saya turut ucapkan terima kasih atas pelantikan enam anggota Parlimen dari Pahang, iaitu dua menteri termasuk Menteri Kanan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

“Empat lagi ialah Timbalan Menteri Kewangan II, Shahar Abdullah; Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ismail Mohd Said; Timbalan Menteri Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Sri Ismail Abdul Mutalib,” katanya dalam satu kenyataan berkaitan pelantikan ini.

Katanya lagi dengan pembentukan kabinet persekutuan ini, ianya diharap negara dapat segera ditadbir dan digerakkan semula ke arah mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 sepertimana yang telah dirangkakan, Insya-Allah,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.