Barisan Kabinet Perikatan Nasional Berhadapan Cabaran Luar Biasa – Mohamad

KUALA LUMPUR, 10 Mac – Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Utama Mohamad Hasan berkata cabaran yang menanti kerajaan baharu dan barisan Kabinetnya adalah sangat luar biasa.

Ini kerana katanya, pengaruh, kekuatan dan kelangsungan Perikatan Nasional amat bergantung dengan prestasi Jemaah Menteri yang dilantik.

“Kepada seluruh rakyat Malaysia, berikanlah Perdana Menteri dan Kabinetnya ruang dan peluang untuk berkhidmat dan membuktikan kemampuan mereka.

“Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada semua anggota Jemaah Menteri Perikatan Nasional,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau turut mengucapkan setinggi tahniah kepada mereka yang telah dilantik menyertai Kabinet Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Semalam, Muhyiddin telah mengumumkan barisan Kabinet menerusi gandingan Perikatan Nasional, citra baharu yang memenuhi aspirasi rakyat.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata akan memastikan Kabinetnya adalah sebuah Kabinet yang berfungsi (functional cabinet) serta dapat menyampaikan perkhidmatan yang lebih berfokus. – UMNO ONLINE