Ahmad Faizal Umum Letak Jawatan MB Perak

IPOH, 10 Mac – Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Perak berkuat kuasa hari ini selari dengan tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) keluar daripada Pakatan Harapan (PH).

Menurut Pengerusi Bersatu Perak itu, beliau telah menyembah maklumkan mengenai peletakkan jawatannya kepada Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dalam pertemuan di Istana Kinta di sini, hari ini.

“Saya telah jelaskan kepada Tuanku (Sultan Nazrin) apabila Bersatu keluar daripada PH maka tergugurlah kerajaan PH di Perak.

“Maka selari dengan perkara itu saya telah menyampaikan, mempersembahkan warkah peletakkan jawatan saya sebagai Menteri Besar dan memaklumkan tentang pelucutan semua jawatan Exco serta merta,” katanya kepada pemberita selepas menghadap Sultan Nazrin selama kira-kira sejam.

Selepas kerajaan PH tumbang akhir bulan lepas, muncul landskap politik baharu di Perak. Kemelut politik di negeri ini berakhir dengan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak daripada PH semalam bertindak meninggalkan parti masing-masing yang membolehkan gabungan Perikatan Nasional mengambil alih tampuk pemerintahan negeri daripada PH.

Mereka yang terlibat ialah ADUN PKR Kuala Kurau Datuk Abdul Yunus Jamahri yang menyertai Bersatu, dan yang lain ialah ADUN Tronoh Paul Yong Choo Kiong dan ADUN Buntong A.Sivasubramaniam kedua-duanya daripada DAP serta ADUN Titi Serong Hasnul Zulkarnain dari AMANAH menyertai Bebas.

Yong, Sivasubramaniam dan Hasnul bagaimanapun menyatakan sokongan kepada Perikatan Nasional Perak selaras dengan jajaran politik baharu di negeri ini.

Penyertaan Abdul Yunus ke dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjadikan parti itu kini mempunyai empat daripada 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak selain Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Chenderiang), Datuk Zainol Fadzi Paharudin (Sungai Manik) dan Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi (Tualang Sekah).

Tindakan dua anggota DAP itu keluar parti menyebabkan kerusi yang dipegang DAP dalam DUN Perak berkurang daripada 18 kepada 16 sementara Amanah pula hilang satu daripada enam kerusi yang dipegangnya dalam DUN Perak. – BERNAMA