UMNO Ucap Tahniah Kabinet Baharu, Zahid Fokus Persiapkan Parti Hadapi PRU-15

KUALA LUMPUR, 9 Mac – UMNO mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah berjaya mengumumkan barisan Jemaah Menteri hari ini.

Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata UMNO mengambil kira suara akar umbi dan keperluan Perikatan Nasional untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan ekoran ‘trust deficit’ atau defisit kepercayaan oleh Pakatan Harapan sebelum ini.

“Kami memberi sokongan yang tidak berbelah-bahagi kepada kepimpinan Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri menerusi kerajaan yang baharu sahaja ditubuhkan,” katanya menerusi catatan di facebook, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid seterusnya menambah tindakannya menolak jawatan Kabinet agar beliau dapat memberi fokus untuk mempersiapkan parti menghadapi PRU ke-15.

“Saya akan membersihkan diri saya di mahkamah dan pertuduhan-pertuduhan terhadap saya tidak digugurkan sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Peguam Negara terdahulu terhadap pemimpin-pemimpin kerajaan sebelum ini.

“Insya-Allah, saya berdoa agar mahkamah membuat keputusan yang terbaik untuk saya. Saya mahu mahkamah menentukan keputusannya walaupun ini adalah pendakwaan politik dan pendakwaan terpilih,” ujarnya.

Hari ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan barisan Jemaah Menteri. Terdahulu, Muhyiddin mengadakan pertemuan dengan semua Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) termasuk Gabungan Parti Sarawak (GPS) di kediaman rasminya di Kompleks Seri Perdana kira-kira jam 3 petang tadi. – UMNO Online

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.