Perikatan Nasional Tubuh Kerajaan Baharu Negeri Perak – Ahmad Faizal

IPOH, 9 Mac – Gabungan baharu Perikatan Nasional yang dianggotai UMNO, PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) akan menubuhkan kerajaan baharu negeri Perak, kata Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Katanya dalam satu sidang media khas hari ini di Hotel Casuarina, Meru, di sini bersama kepimpinan UMNO, PAS dan BERSATU negeri, gabungan baharu itu akan menubuhkan kerajaan negeri dengan majoriti 32 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

“Saya dengan ini ingin memaklumkan bahawa kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia, UMNO dan PAS negeri Perak telah mencapai satu persetujuan untuk membentuk sebuah gabungan baru. Hubungan ini melibatkan empat ADUN daripada BERSATU, iaitu saya sendiri sebagai ADUN Chenderiang, ADUN Sungai Manik Datuk Zainol Fadzi Paharudin, serta kita alu-alukan dua lagi ADUN yang telah menyertai BERSATU iaitu ADUN Kuala Kurau Datuk Abdul Yunus Jamhari dan ADUN Tualang Sekah Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi.

“Kita semua sedia maklumkan gabungan ini turut melibatkan kesemua 25 ADUN daripada UMNO dan tiga ADUN daripada PAS. Dengan gabungan ketiga-tiga parti ini, maka Perikatan Nasional negeri Perak akan dapat menubuhkan kerajaan negeri Perak yang baru dengan jumlah majoriti 32 Ahli Dewan Undangan Negeri,” tambahnya lagi.

Hadir sama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak Datuk Saarani Mohamad, Pesuruhjaya PAS negeri Razman Zakaria dan bekas Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Ahmad Faizal yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata kerajaan negeri yang dibentuk itu sudah pasti mampu menjalinkan kerjasama yang erat dengan kerajaan pusat.

“Insya-Allah dengan gabungan ini akan membentuk sebuah kerajaan negeri yang stabil dan mampu menjalin kerjasama yang erat dengan kerajaan Perikatan Nasional di peringkat persekutuan bagi meneruskan agenda pembangunan dan membela rakyat negeri Perak yang dikasihi,” ujarnya.

Dalam sidang media yang sama, Saarani yang juga ADUN Kota Tampan berkata, UMNO, PAS dan BERSATU akan mencadangkan beberapa nama sebagai Menteri Besar Perak yang baharu kepada Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.