MCA, MIC Kembali Dalam Kabinet Kerajaan Persekutuan

KUALA LUMPUR, 9 Mac – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan barisan Jemaah Menteri pelbagai kaum dengan turut menamakan dua Ahli Parlimen daripada MCA.

Beliau berkata Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam dilantik sebagai Menteri Pengangkutan.

Ahli Parlimen Tanjung Piai Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng pula memegang jawatan Timbalan Menteri 1 Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

-Muhyiddin turut menamakan satu-satunya Ahli Parlimen MIC Datuk Seri M.Saravanan sebagai Menteri Sumber Manusia.

Beliau mengumumkan Kabinet citra baharu yang memenuhi aspirasi rakyat itu pada sidang berita khas di Putrajaya.

Kerajaan Persekutuan pimpinan Muhyiddin merangkumi Bersatu, Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak dan PAS.

Pada 1 Mac lepas, beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kelapan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.