Azam Baki Dilantik Ketua Pesuruhjaya SPRM Yang Baharu – PMO

KUALA LUMPUR, 9 Mac – Datuk Seri Azam Baki dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkuat kuasa hari ini.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan menyatakan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memperkenankan pelantikan Azam selaras dengan subseksyen 5(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Azam merupakan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM sebelum ini.

Pejabat Perdana Menteri juga memaklumkan bahawa Seri Paduka telah memperkenan permohonan Latheefa Beebi Koya untuk memendekkan perkhidmatan kontrak beliau sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM berkuat kuasa hari ini (9 Mac).

Ia selaras dengan subseksyen 5(3) Akta SPRM 2009.

“Kerajaan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Puan Latheefa Beebi Koya atas perkhidmatan beliau kepada negara selama beliau memegang jawatan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM,” menurut kenyataan itu.

Pada 6 Mac, Latheefa mengesahkan telah menghantar surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Latheefa dalam satu kenyataan berkata surat itu dihantar pada 2 Mac lepas dan ia adalah keputusan beliau sendiri. – BERNAMA