Pemuda UMNO Hormati Keputusan Presiden

KUALA LUMPUR, 8 Mac – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menghormati keputusan Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menawarkan diri untuk tidak dilantik sebarang jawatan dalam Kabinet, walaupun merasakan keperluan Institusi Presiden UMNO untuk berada dalam kabinet sebagai parti terbesar dalam gabungan yang membentuk kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Demikian jelas ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkaitan kenyataan Dr Ahmad Zahid yang membuat pendirian tersebut secara terbuka dalam perasmian mesyuarat cawangan berkelompok UMNO Bahagian Bagan Datuk, semalam.

Katanya, Pemuda UMNO juga mengalu-alukan kenyataan Perdana Menteri yang berkali-kali menyebutkan bahawa kabinet yang bakal diumumkan nanti terdiri daripada mereka yang bersih dan berintegriti.

“Walau bagaimanapun definisi bersih dan berintegriti ini tidak seharusnya berasaskan wajah umum yang dicorakkan dan dipersepsikan di ruangan media-media sosial.

“Pemuda UMNO kesal kerana definisi bersih dan integriti hari ini tidak lagi berasaskan kepada neraca keadilan dan prinsip ‘Rule of Law’ sebenar.

“Sehinggakan mereka yang menjadi mangsa pendakwaan politik secara terpilih begitu pantas dipersepsikan bersalah walaupun mahkamah belumpun menjatuhkan sebarang hukuman,” tegas beliau dalam kenyataan media hari ini.

Justeru katanya lagi, Pemuda UMNO berpendirian, jika piawaian bersih dan integriti ini banyak bergantung kepada persepsi umum, maka barisan kabinet yang bakal diumumkan nanti mestilah juga terdiri daripada mereka yang benar-benar bebas dan dilihat bebas daripada sebarang skandal integriti yang pastinya tidak hanya terhad kepada pimpinan UMNO semata-mata! – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.