Institusi Presiden Sewajarnya Dapat Pengiktifafan Sertai Kabinet Kerajaan Baharu

KUALA LUMPUR, 8 Mac – Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan berpandangan agar YAB Perdana Menteri dapat memberi pertimbangan yang sebaiknya dengan memberi peluang kepada Presiden parti agar turut menyertai barisan kabinet beliau yang bakal dibentuk pada bila-bila masa.

Pengerusinya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata demikian merujuk kepada kenyataan YB Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden UMNO yang telah menyatakan hasrat yang ‘menawarkan diri’ untuk tidak dilantik adalah satu pengorbanan dan sangat berjiwa besar seorang Presiden sebuah parti yang besar dan lama tertubuh di Malaysia.

“Ini bukan soal Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi semata-mata, ia merupakan suatu penghormatan, kepercayaan dan maruah UMNO sebagai sebuah parti dengan pengiktirafan terhadap ketua parti. Hatta siapa yang menjadi presiden, ahli wajib mempertahankannya.

“Kami menghormati keputusan presiden parti, namun, perikatan yang terbentuk ini adalah berdasarkan ’berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’ seperti juga kenyataan YAB Perdana Menteri pada 2 Mac 2020 ‘bersatu teguh, bercerai roboh dan
bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat’,” katanya dalam kenyataan hari ini.

ujarnya, berdasarkan naratif Perdana Menteri, marilah bersama-sama untuk bina semula negara dan kembalikan kegemilangannya.

“Sewajarnya ketua-ketua parti juga turut membantu Perdana Menteri membina semula negara.

“Datuk Dr Ahmad Zahid masih lagi diperingkat perbicaraan, beliau belum terbukti bersalah sehingga diputuskan oleh mahkamah di atas segala pertuduhan kepada beliau.”

Ini kerana, katanya, kes beliau merupakan  pendakwaan terpilih yang bermotifkan politik pada ketika beliau didakwa.

“Malah, ada Menteri kanan Kerajaan Pakatan Harapan yang turut diberi kepercayaan pada masa yang sama pendakwaan terhadapnya sedang dibicarakan malah kes tersebut turut digugurkan tanpa sebarang alasan yang kukuh bagi menghalalkan beliau mengekalkan jawatan beliau sebagai menteri.

“Mengambil kira pengalaman beliau sebagai anggota kabinet yang hampir 2 dekad, pastinya akan dapat membantu Perdana Menteri membina semula negara Malaysia dibawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin.”

Maka, katanya, UMNO Kelantan memohon jasa baik dan pertimbangan oleh Perdana Menteri agar tetap memberi peluang kepada ketua parti UMNO bersama-sama membantu membina negara yang kita cintai. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.