Sultan Johor Mahu Exco Baharu Bekerja Satu Pasukan

JOHOR BAHRU, 6 Mac – Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar bertitah agar semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor (EXCO) yang baharu itu bekerja sebagai satu pasukan.

Titah baginda, ini penting bagi memastikan ekonomi dan kepentingan negeri Johor sentiasa terpelihara selain dapat menyatu-padukan semula rakyat.

“Sentiasa melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan sebaiknya. Bekerjasama sebagai satu pasukan dalam memastikan ekonomi dan kepentingan negeri Johor sentiasa terpelihara.

“Anda semua berperanan untuk menyatu-padukan semula rakyat demi kesejahteraan dan kemakmuran negeri ini,” titah Sultan Ibrahim pada Majlis Istiadat Pelantikan Exco kerajaan negeri Johor di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene di sini, hari ini.

Titah baginda itu dimuat naik dalam laman Facebook rasmi Sultan Johor untuk dikongsi kepada umum.

Pada majlis istiadat itu sebentar tadi, 10 orang exco kerajaan negeri mengangkat sumpah di hadapan Sultan Ibrahim.

Mereka ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO iaitu Datuk Samsolbari Jamali (ADUN Semarang; Ayub Jamil (ADUN Rengit); Zaiton Ismail (ADUN Sungai Balang) dan Datuk Onn Hafiz Ghazi (ADUN Layang-Layang) serta ADUN daripada MIC R. Vidyananthan (Kahang).

Turut mengangkat sumpah, empat ADUN Bersatu iaitu Mazlan Bujang (ADUN Puteri Wangsa); Mohd Solihan Badri (ADUN Tenang); Tosrin Jarvanthi (ADUN Bukit Permai) dan Mohd Izhar Ahmad (ADUN Larkin) serta seorang ADUN Bebas, Dr Chong Fat Full (ADUN Pemanis).

Turut berangkat pada majlis itu ialah Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim; Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar.

Yang turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad.

Jumaat lepas, Hasni, 61, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor yang ke-18 selepas Bersatu bertindak keluar daripada Pakatan Harapan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.