Barisan Exco “Makmur Johor” Mahu Teruskan Legasi Kemakmuran Johor

JOHOR BAHRU, 6 Mac – Exco “Makmur Johor” hari ini berikrar mahu meneruskan legasi kemakmuran negeri dalam pelbagai bidang demi manfaat rakyat negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata Johor harus makmur dalam sektor ekonomi, pendidikan dan kesihatan di samping mengamalkan tadbir urus yang telus dan adil serta berakar kukuh dengan identiti Johornya.

“Amat banyak potensi tersirat Johor yang harus kita rungkai bersama,” kata beliau kepada pemberita di kediaman rasmi Menteri Besar, Saujana di sini, hari ini.

Hasni, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor itu berkata banyak pencapaian telah dikecapi Johor, antaranya sebagai negeri yang termaju dan terkehadapan dalam banyak perkara.

Terdahulu, 10 ahli barisan exco yang dibarisi muka lama dan muka baharu, mengangkat sumpah jawatan di hadapan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar di Istana Bukit Serene di sini, pagi ini.

Ketika ditanya mengenai ketiadaan wakil PAS dalam barisan exco, Hasni berkata peranan wakil rakyat dilihat tidak terhad sebagai ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri sahaja tetapi juga memerlukan pemimpin di peringkat agensi seperti syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri serta memastikan perjalanan persidangan Dewan Negeri (DUN) berjalan.

Menteri besar itu berkata dengan penangguhan sidang DUN yang dijadualkan semalam (5 Mac) ke satu tempoh lain, tumpuan akan diberikan untuk memantapkan lagi persefahaman antara barisan EXCO baharu.

Mengenai tindakan Pakatan Harapan (PH) Johor yang mahu memohon satu sidang DUN “khas” diadakan, Hasni berkata tiada keperluan untuk mengadakan persidangan DUN itu.

“Jadi untuk mengadakan sidang DUN khas kalau bertujuan untuk mengatakan bahawa sama ada kerajaan yang sedia ada ini mendapat sokongan majoriti ahli-ahli dewan, perkara itu telahpun diputuskan berlandaskan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.