10 ADUN Johor Angkat Sumpah Sebagai Exco

 

JOHOR BAHRU, 6 Mac – Seramai 10 ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor (Exco) mengangkat sumpah jawatan di hadapan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Istana Bukit Serene, hari ini.

Berangkat sama pada Majlis Istiadat Pelantikan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri itu ialah Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Turut berangkat Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar.

Yang turut hadir, Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad.

Menurut kenyataan yang dimuatnaik dalam laman Facebook rasmi Sultan Johor, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor yang mengangkat sumpah ialah empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO iaitu Datuk Samsolbari Jamali (ADUN Semarang); Ayub Jamil (ADUN Rengit), Zaiton Ismail (ADUN Sungai Balang) dan Datuk Onn Hafiz Ghazi (ADUN Layang-Layang) serta seorang ADUN dari MIC R. Vidyananthan (ADUN Kahang).

Turut mengangkat sumpah, empat ADUN daripada Bersatu iaitu Mazlan Bujang (ADUN Puteri Wangsa), Mohd Solihan Badri (ADUN Tenang); Tosrin Jarvanthi (ADUN Bukit Permai) dan Mohd Izhar Ahmad (ADUN Larkin) serta seorang ADUN Bebas, Dr Chong Fat Full (ADUN Pemanis).

Jumaat lepas, Hasni, 61, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor yang ke-18 di hadapan Sultan Ibrahim di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.