Johor Sokong Penuh Muhyiddin Sebagai PM – Hasni

MUAR, 3 Mac – Kerajaan Negeri Johor menyokong penuh pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Kelapan negara, kata Menteri Besar Datuk Ir Hasni Mohammad.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor menzahirkan sokongan itu selepas mengadakan pertemuan dengan Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Rumah Rehat VIP di Tanjung Emas di sini, semalam.

“Alhamdulillah, kita (Kerajaan Negeri Johor) menyatakan sokongan penuh kepada Perdana Menteri (Muhyiddin) untuk beliau meneruskan kepimpinan… kita amat yakin dan percaya bahawa rakyat akan bersama-sama dengan Perdana Menteri,” katanya yang ditemui pemberita selepas pertemuan terbabit.

Semalam, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh itu mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Kelapan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

Al-Sultan Abdullah berkenan melantik Muhyiddin selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Dalam perkembangan lain, Hasni berkata pertemuan beliau dengan Muhyiddin tidak membincangkan soal pelantikan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor namun beliau berpendapat majlis angkat sumpah barisan exco perlu disegerakan.

“Kita cuba (angkat sumpah) dalam minggu ini, kalau tidak pun sekurang-kurangnya ada satu jumlah yang mencukupi untuk membolehkan kerajaan negeri menjalankan tugas sepatutnya,” katanya.

Menurutnya barisan exco kerajaan negeri juga akan dilantik dalam tempoh seminggu.

Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor yang ke-18 di Istana Bukit Serene pada Jumaat lepas. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.