UMNO Kelantan Tak Tuntut Sebarang Jawatan Dalam Kerajaan Negeri

KOTA BHARU, 2 Mac – UMNO Kelantan tidak akan menuntut sebarang jawatan dalam kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Ahmad Jazlan, dalam masa yang sama turut memohon ahli UMNO Kelantan agar tidak membincangkan perkara itu di peringkat akar umbi kerana apa yang penting ketika ini adalah memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Bukan jawatan untuk menghalang kita daripada berkhidmat kepada rakyat kerana kita kini memiliki akses secara terus dengan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob.

“Kita kini sudah menjadi suara kerajaan dan saya harap pengalaman (di peringkat kerajaan Persekutuan sebelum ini) dapat digabungkan dan natijahnya dapat dirasai oleh rakyat,” katanya pada sidang akhbar di Bangunan UMNO Kelantan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Jazlan berkata UMNO Kelantan akan menjadi ‘tulang belakang’ kepada kerajaan Kelantan bagi membuktikan ia adalah pilihan tepat kepada PAS untuk bergabung dengan parti itu di bawah Muafakat Nasional.

“Kita nak lihat taraf hidup dan kehidupan rakyat di Kelantan berubah walaupun keperluan itu mungkin mengambil sedikit masa untuk dilaksanakan.

“Ia akan menjadi limpahan nikmat kepada rakyat di negeri ini selepas PAS bersama-sama dalam membentuk kerajaan Persekutuan yang baharu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan tetap memainkan peranan mereka untuk mengimbangi kepimpinan kerajaan negeri walaupun Kelantan kini tidak mempunyai pembangkang.

“ADUN UMNO dan Bersatu tetap akan membuat teguran dan pembetulan kepada kerajaan negeri jika ia melibatkan kepentingan rakyat. Walaupun tiada pembangkang pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas ini namun saya yakin kerajaan negeri akan peka dengan suara wakil rakyat,” katanya.

DUN Kelantan mempunyai 45 kerusi membabitkan 37 ADUN PAS, tujuh ADUN UMNO dan satu ADUN Bersatu.

Ditanya mengenai penerimaan ahli UMNO Kelantan terhadap Datuk Seri Mustapa Mohamed yang pernah mengemudi parti itu sebelum berhijrah ke Bersatu, Ahmad Jazlan berkata ahli akar umbi perlu menerima tokoh tersebut dengan hati terbuka dan tidak menyimpan dendam di atas perbuatan beliau sebelum ini.

“Mungkin hati ahli UMNO Kelantan terguris dengan tindakan Mustapa sebelum ini tapi bila ‘biduk berlalu kiambang bertaut, carik-carik bulu ayam lama-lama bertaut jua’. Kesetiaan kita kepada parti adalah jelas dan kita akan terima (Mustapa) dengan hati terbuka. Kita mesti fokus kepada kerajaan baharu dan berusaha meyakinkan rakyat kita lebih berwibawa daripada kerajaan lepas,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.