Pemimpin Utama Kerajaan Negeri Sambut Baik Pelantikan Muhyiddin PM Kelapan

KUALA LUMPUR, 29 Feb – Pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan memperlihatkan kesepakatan baharu politik tanah air sekali gus menamatkan kemelut politik negara yang melanda sejak tujuh hari lepas, menurut kalangan pemimpin utama negeri.

Mereka menyambut baik keputusan pelantikan itu yang diumumkan hari ini setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Antara yang merakamkan ucapan tahniah ialah Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang menyifatkan lantikan itu sebagai bukti keberkesanan persepakatan parti politik tanah air.

“Semoga dengan pelantikan ini, pentadbiran negara dapat digerakkan kembali demi memastikan kemakmuran dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara. InsyaAllah,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Wan Rosdy juga menyifatkan keputusan itu sebagai melegakan rakyat dan membuktikan kedaulatan serta kebijaksanaan Seri Paduka dalam melaksanakan pemerintahan negara.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar turut menzahirkan ucapan tahniah atas pelantikan Muhyiddin menerusi catatan dalam laman Facebook miliknya.

“Tahniah kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang baru sahaja dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang kelapan setelah mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta’in Billah,” katanya.

Dalam pada itu, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dalam kenyataan hari ini mengharapkan kebijaksanaan kepimpinan Seri Paduka akan terus memastikan urusan pentadbiran negara berjalan lancar ke arah Malaysia Sejahtera.

Menurutnya, kerajaan negeri Kelantan menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong atas perkenan Seri Paduka melantik Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan.

“Tahniah kepada YB Tan Sri Haji Muhyiddin Yassin kerana telah dipilih sebagai Perdana Menteri kelapan, Semoga dipandu oleh Allah SWT dalam menjalankan tugas,” katanya.

Istiadat mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan oleh Muhyiddin akan berlangsung di Istana Negara pada 10.30 pagi esok.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin hari ini, lantikan itu adalah selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Lantikan Muhyiddin susulan Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai Perdana Menteri ketujuh pada Isnin (24 Feb) dan beberapa jam kemudian Seri Paduka melantik Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri Interim. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.