Bersatu Bincang Dengan BN Bentuk Kerajaan Negeri Melaka – Mohd Rafiq

MELAKA, 29 Feb – Bersatu Melaka akan mengikut aturan situasi pusat parti itu dan akan mengadakan perbincangan dengan Barisan Nasional (BN) Melaka dalam memperoleh 15 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membentuk Kerajaan Negeri Melaka.

Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata setelah selesai perbincangan yang akan diadakan dalam masa terdekat, Bersatu Melaka dan BN Melaka akan mengadakan pertemuan dengan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Khalil Yaakob.

“Kita (Bersatu Melaka) dan BN (Melaka) akan mengadakan pertemuan dengan Tuan Yang Terutama (Mohd Khalil) untuk tubuhkan kerajaan gabungan baharu antara Bersatu dan BN, kita masih menunggu tarikh dalam masa terdekat (untuk pertemuan), mungkin dalam sehari dua ini.

“Bersatu ada dua kerusi DUN dan ADUN Rembia (Datuk Muhammad Jailani Khamis-PKR) sudah nyatakan hasrat kepada saya untuk sertai Bersatu, termasuk Rembia kita ada tiga kerusi Bersatu dan kerjasama 13 ADUN UMNO dan BN kita bentuk kerajaan Perikatan Nasional,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Malaysia berkata demikian ketika ditemui pemberita di Kuala Lumpur dan video live temubual beliau itu dikongsikan dalam laman Facebook rasminya hari ini.

PH Melaka mentadbir kerajaan negeri dengan 15 kerusi DUN berbanding BN memiliki 13, kesemuanya daripada UMNO. Daripada 15 kerusi DUN dimenangi PH, lapan (DAP), tiga (PKR), Amanah dan Bersatu masing-masing menang dua kerusi DUN pada PRU14 yang lepas.

Mengulas mengenai pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Kelapan, Mohd Rafiq berkata Muhyiddin adalah seorang pemimpin yang sentiasa melaksana tanggungjawab diamanahkan, serta punyai perasaan dan semangat bagi bekerja keras membantu rakyat.

Beliau berkata, bekas Timbalan Perdana Menteri itu mempunyai pengalaman yang amat luas dalam mengurus tadbir sebuah kerajaan selain mempunyai latar belakang agama Islam amat baik yang mana semua itu mampu membawa negara ini ke tahap lebih tinggi.

“Menjadi perdana menteri suatu kelebihan buat negara kerana mempunyai perdana menteri seperti Tan Sri (Muhyiddin) yang berpengalaman juga latar belakang amat baik. Saya percaya ia jadi kemahuan memenuhi kehendak aspirasi rakyat Malaysia.

“Tan Sri (Muhyiddin) dan Tun (Dr Mahathir Mohamad) adalah tokoh pemimpin besar yang saya harap dapat duduk bersama cari persamaan, dua tokoh ini kita akrabkan kerana kita juga perlukan pengalaman Tun. Curah idea, pendapat sama-sama pimpin negara,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.