Surat PM Interim Tak Tepati Peraturan Mesyuarat, 2 Mac Tiada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat – Speaker

KUALA LUMPUR, 28 Feb — Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof hari ini memutuskan bahawa Mesyuarat Khas Dewan Rakyat yang dicadangkan pada 2 Mac tidak akan berlangsung.

Menurut Mohamad Ariff, beliau telah menerima Surat Pemakluman Memanggil Mesyuarat Khas Dewan Rakyat yang ditandatangani Perdana Menteri Interim Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai cadangan mesyuarat itu.

“Namun demikian saya mendapati surat berkenaan tidak menepati Peraturan Mesyuarat 11 (3) oleh kerana tidak disusuli dengan Pemberitahuan Usul yang lengkap,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan mengikut Peraturan Mesyuarat 11(3) , pemberitahuan dan tarikh mesyuarat akan dikeluarkan olehnya selaku Yang Dipertua Dewan Rakyat.

“Setakat ini tiada notis dikeluarkan,” katanya.

Mohamad Ariff berpendapat bahawa keperluan untuk mengadakan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat akan dibuat selepas mendapat pemakluman titah rasmi daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riáyatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung dengan proses pemilihan perdana menteri.

“Saya akan terus meneliti perkembangan semasa dan kenyataan seterusnya tentang notis dan tarikh mesyuarat khas akan dimaklumkan kelak,” katanya.

Semalam, Dr Mahathir memberitahu sidang media bahawa Mesyuarat Khas Dewan Rakyat akan diadakan pada 2 Mac ini bagi menentukan calon yang mendapat majoriti untuk menjadi perdana menteri baharu.

Perdana Menteri Interim itu berkata sekiranya persidangan khas itu gagal mencapai keputusan, pilihan raya mengejut akan diadakan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.