Peluang Bagi Parti-Parti Politik Kemukakan Nama Calon PM – Istana Negara

KUALA LUMPUR, 28 Feb – Istana Negara akan memberi peluang kepada parti-parti politik yang mempunyai wakil di Dewan Rakyat untuk mencalonkan nama bakal Perdana Menteri.

Ini dinyatakan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin hari ini.

“Pihak Istana Negara akan berhubung dengan ketua-ketua pimpinan parti politik yang mempunyai wakil dalam Dewan Rakyat, bagi memberi peluang kepada mereka untuk mengemukakan pencalonan nama Ahli Dewan Rakyat sebagai bakal Perdana Menteri,” katanya.

Dalam kenyataan itu, Ahmad Fadil juga menyentuh mengenai temu bual yang berlangsung antara Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan ahli-ahli Parlimen yang berlangsung selama dua hari bermula Selasa di Istana Negara.

“Berdasarkan proses temu bual ini, Seri Paduka Baginda masih belum memperoleh keyakinan mengenai seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mendapat kepercayaan majoriti Ahli-ahli Dewan Rakyat bagi membentuk kerajaan baharu,” katanya.

Ahmad Fadil seterusnya berkata Al-Sultan Abdullah turut berkenan dengan keputusan yang telah diambil oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof untuk tidak memanggil Mesyuarat Khas Dewan Rakyat pada Isnin (2 Mac).

“Seri Paduka Baginda seterusnya akan terus berusaha untuk mencari jalan penyelesaian selaras dengan Perlembagaan Persekutuan demi kesejahteraan rakyat jelata dan negara yang kita cintai bersama,” kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.