PAS Akan Bantu Pentadbiran Kerajaan ‘Gabungan Baharu’ Negeri Johor

JOHOR BAHRU, 28 Feb – PAS Johor hari ini memberi jaminan akan bersama-sama dalam memainkan peranan untuk memastikan pentadbiran kerajaan negeri di bawah ‘Gabungan Baharu’ berjalan lancar.

Pesuruhjaya PAS Johor Abdullah Husin berkata pihaknya akan berbincang dengan rakan parti dalam gabungan baharu itu untuk menghulurkan bantuan demi kebaikan rakyat di negeri tersebut.

“Saya bagi pihak PAS sangat bersyukur kepada Allah SWT dan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Datuk Ir Hasni Mohammad yang telah dilantik sebagai Menteri Besar Johor dan kita akan mendukung bersama kerajaan baharu ini sebagaimana permuafakatan yang telah berlangsung sebelum ini.

“PAS akan memainkan peranan untuk memastikan pentadbiran berjalan lancar, pembangunan dalam keadaan baik dan juga segala aspek termasuk agama, jasmani dan rohani dapat berjalan dengan telus,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Hotel Mutiara di sini.

Turut hadir Menteri Besar Johor yang baharu iaitu Hasni dan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor Mazlan Bujang.

Abdullah berkata peranan PAS tertumpu dalam memberi pandangan berkaitan agama Islam.

“Sebagai sebuah parti yang sekian lama dalam arena politik dan sudah dikenali membawa dasar Islam, jadi inilah peranan kita, untuk menyerlahkan pandangan-pandangan Islam yang mana sewajarnya.

“Kebetulan pula saya dengan Datuk Hasni mempunyai hubungan yang sangat rapat. Dulu masa saya jadi pembangkang pun, PAS merupakan pembangkang yang mampu melaksanakan tugas dengan baik, kita telus jadi hubungan kita baik.

“Jadi sekarang lagi bagus, lagi mantap, maksudnya dulu sebelum ada penyatuan, kita dah ada persefahaman,” katanya.

Terdahulu, Husni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor ke-18 di Istana Bukit Serene di sini hari ini.

Hasni, 61, merupakan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri.

Beliau menggantikan Datuk Dr Sahruddin Jamal daripada Bersatu, yang sebelum ini dilantik sebagai Menteri Besar ke-17 pada 14 April 2019. – BERNAMA