Kenali Ir Hasni, MB Johor Ke-18

JOHOR BAHRU, 28 Feb – Menteri Besar Johor yang ke-18 Datuk Ir Hasni Mohammad, merupakan ahli politik yang tidak asing lagi dalam politik Johor apatah lagi pernah memegang jawatan exco kerajaan negeri sebelum ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut sejak Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 pada 2008 itu, berjaya mempertahankan kerusi itu buat kali ketiga pada PRU14 selepas menewaskan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Zulkifly Tasrep dan PAS Mohd Firdaus Jaafar dengan majoriti 4,447 undi.

Sebelum itu, Hasni, 61, dipilih sebagai Ahli Parlimen Pontian apabila menang dengan majoriti 21,158 undi mengalahkan calon Keadilan, Hassan Abdul Karim pada PRU11, Mac 2004.

Berkelulusan Sarjana Muda Sains Kejuruteraan Awam, Universiti of Missouri, Rolla, Amerika Syarikat, Hasni merupakan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor dan juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor selain Ketua UMNO Bahagian Pontian sejak tahun 2001.

Mempunyai latar belakang sebagai jurutera perunding, anak kelahiran Pontian itu mula melibatkan diri dalam politik seawal tahun 1990-an dengan jawatan pertamanya sebagai Ketua Pemuda UMNO Pontian pada tahun 1993 hingga 2001.

Beliau juga pernah menjadi Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika Hishammuddin menjadi Menteri Belia dan Sukan pada tahun 2000 dan Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada tahun 2004.

Selain itu, Hasni juga menjawat jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Johor dari Mei 2013 sehingga awal 2018, ketika kerajaan negeri dipimpin oleh Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, sebagai Menteri Besar.

Pelantikan Hasni adalah susulan pengumuman Istana Johor semalam mengenai penubuhan kerajaan Gabungan Baharu yang merangkumi BN, PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sekali gus membentuk majoriti mudah dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beliau menggantikan Datuk Dr Sahruddin Jamal daripada Bersatu, yang dilantik sebagai Menteri Besar ke-17 pada 14 April 2019.

Rabu lepas, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertemu dengan 54 ADUN Johor bagi mengetahui siapa pilihan menteri besar baharu, sama ada daripada Gabungan Baharu atau Pakatan Harapan, ekoran keluarnya Bersatu daripada PH pada Isnin (24 Feb), sekali gus menjadikan Johor, kerajaan tergantung.

Ini merupakan pelantikan Menteri Besar Johor yang ketiga dalam tempoh kurang tiga tahun selepas PRU14 pada 9 Mei 2018.

Hasni mempunyai seorang isteri dan empat orang anak. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.