Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja Dijangka Esok

KUALA LUMPUR, 27 Feb – Majlis Raja-Raja dijangka mengadakan satu mesyuarat khas di Istana Negara esok.

Menurut sumber, raja-raja Melayu dijangka menghadiri mesyuarat khas berkenaan, antaranya Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah.

Turut dipercayai akan berangkat menghadiri mesyuarat khas itu ialah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Tengku Mahkota Kelantan Dr Tengku Muhammad Faiz Petra Sultan Ismail Petra.

Bernama cuba mendapatkan pengesahan daripada Istana Negara dan pejabat istana di negeri-negeri berhubung mesyuarat khas itu.

Difahamkan, mesyuarat itu diadakan bagi membincangkan perkembangan politik semasa susulan kerajaan Pakatan Harapan (PH) hilang kuasa berikutan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) keluar daripada PH.

Pada Isnin, Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai Perdana Menteri ketujuh serta pengerusi Bersatu dan beberapa jam kemudian Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melantiknya sebagai Perdana Menteri interim.

Pada Selasa dan Rabu, Al-Sultan Abdullah menemu bual kesemua Ahli Parlimen secara individu susulan kemelut politik negara.

Seri Paduka mahu mendengar sendiri pandangan setiap Ahli Parlimen dalam mencari penyelesaian terhadap kemelut tersebut.

Ini menyaksikan sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen subur di negara ini apabila Al-Sultan Abdullah menjalankan peranan dalam mendapatkan fakta bagi membantu baginda membuat keputusan lanjut berhubung masalah tersebut. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.