Gabungan Baharu Bakal Bentuk Kerajaan Negeri Di Johor

JOHOR BAHRU, 27 Feb – Satu gabungan parti yang baharu telah diwujudkan untuk membentuk kerajaan negeri baharu di Johor.

Ini susulan kedudukan kerajaan Pakatan Harapan (PH) di Johor sebelum ini yang hilang majoriti kerana tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) keluar daripada PH, Isnin lalu, sekali gus mewujudkan situasi kerajaan negeri yang tergantung (hung government).

Setiausaha Sulit kepada Sultan Johor, Datuk Jaba Mohd Noah, berkata pewujudan gabungan baharu itu dimaklumkan Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal bersama Pengerusi UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad pada majlis menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, semalam.

Dalam kenyataan Istana Johor hari ini, Jaba berkata Sultan Johor menitahkan supaya temu bual diadakan bersama setiap 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi mendengar sendiri sokongan yang diberi.

Daripada 56 ADUN yang dipanggil, dua iaitu ADUN Simpang Jeram, Datuk Seri Salahuddin Ayub dan ADUN Puteri Wangsa, Mazlan Bujang tidak dapat hadir.

“Setelah selesai sesi temu bual itu, Tuanku (Sultan Ibrahim) berpuas hati bahawa gabungan parti yang baharu telah memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan, apabila 28 ADUN memilih Gabungan Baharu berbanding 26 ADUN memilih PH..

“Oleh yang demikian, gabungan parti yang baharu itu berhak untuk memberikan cadangan nama calon Menteri Besar sebelum susunan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang baharu dilantik,” kata Jaba. Temu bual di hadapan Sultan Ibrahim dengan disaksikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani dan Penasihat Undang-Undang Negeri, Amir Nasruddin itu berlangsung dari jam 3 hingga 5 petang semalam di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan, di sini.

Setiap ADUN dikehendaki menandatanani surat akuan bersumpah bagi mengesahkan pendirian mereka sama ada menyokong PH atau Gabungan Baharu.

Jaba seterusnya berkata Sultan Ibrahim berharap pentadbiran kerajaan negeri Johor segera dibentuk bagi memastikan pembangunan negeri berjalan lancar demi kemajuan dan kesejahteraaan rakyat negeri ini.

Daripada 56 kerusi DUN Johor, DAP dan UMNO masing-masing mempunyai 14 kerusi, Bersatu (11), Amanah (9), PKR (5), MIC (2) dan PAS (1). – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.