Calon MB Johor Selewat-Lewatnya Esok – Hasni

JOHOR BAHRU, 27 Feb – Satu pertemuan akan diadakan antara Barisan Nasional (BN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor hari ini bagi membincangkan calon Menteri Besar yang baharu susulan perkenan Istana Johor untuk Gabungan Baharu dibentuk bagi mentadbir kerajaan negeri.

Perkara itu disahkan Pengerusi BN Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad, ketika dihubungi Bernama, tadi.

Katanya, beliau akan berbincang dengan Pengerusi Bersatu Johor, Mazlan Bujang sebelum senarai muktamad calon dipersembahankan kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar untuk diperkenan, selewat-lewatnya esok.

“Keputusan akhir, biar Tuanku (Sultan Ibrahim) yang tentukan kerana ini sudah dipersetujui kedua-dua pihak,” katanya.

Istana Johor menerusi satu kenyataan hari ini memberitahu Sultan Ibrahim berpuas hati Gabungan Baharu membentuk kerajaan negeri selepas ia mendapat sokongan majoriti daripada 28 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berbanding 26 ADUN yang memilih Pakatan Harapan (PH).

Johor mempunyai 56 kerusi DUN dan daripada jumlah itu, DAP dan UMNO masing-masing mempunyai 14 kerusi, Bersatu (11), Amanah (9), PKR (5), MIC (2) dan PAS (1). – BERNAMA