Kerajaan Negeri Perlis Stabil, UMNO Negeri Tunggu Arahan Pusat

KANGAR, 25 Feb – Kerajaan negeri Perlis menjalankan kerja pentadbiran harian seperti biasa dan tidak terjejas walaupun dijangka berlaku penjajaran dalam landskap politik negara, kata Setiausaha UMNO Perlis Azizan Sulaiman.

Beliau berkata, UMNO Perlis masih belum mendapat apa-apa arahan daripada parti atau peringkat pusat buat masa ini untuk sebarang tindakan dan kerajaan negeri stabil dari segi komposisi parti negeri.

“Kami menunggu arahan daripada UMNO pusat, bagaimanapun saya yakin dan percaya tiada sebarang masalah di Perlis kerana majoriti kerusi di Perlis dipegang oleh UMNO,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Azizan berkata tiada sebarang kes lompat parti atau seumpamanya berlaku di Perlis dan keadaan di negeri ini aman damai.

Sekiranya berlaku apa-apa, beliau berkata maklumat akan disalurkan kepadanya menerusi pengerusi badan perhubungan atau setiausaha agung UMNO.

UMNO menguasai sembilan daripada 15 kerusi DUN , PAS (dua), PKR (tiga) dan Bebas (satu). – BERNAMA