MH370: Hishamuddin Nafi Kenyataan Tony Abbot, Ulas Tanpa Bukti

KUALA LUMPUR, 20 Feb – Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ketika insiden kehilangan MH370 pasukan penyiasat tidak pernah melaporkan kepada beliau sebarang jawapan konklusif yang menyebabkan kehilangan pesawat tersebut.

Jelas beliau yang ketika itu memangku jawatan Menteri Pengangkutan, kenyataan bekas Perdana Menteri Australia Tony Abbot yang mengatakan pemimpin kanan kerajaan Malaysia memaklumkan kerajaan Australia ketika itu kehilangan pesawat MH370 disebabkan tindakan bunuh diri oleh juruterbang adalah satu tindakan tidak bertanggungjawab dan sensitif malah ia boleh menjejaskan siasatan yang sedang dilakukan.

“Mengulas perkara yang tidak sah akan menjejaskan siasatan dilakukan dan tidak adil kepada keluarga penumpang pesawat Malaysia Airlines MH370.

“Sepanjang memangku jawatan tersebut, kerajaan Malaysia meneroka setiap petunjuk dan kemungkinan berhubung kehilangan pesawat malang itu termasuk spekulasi, teori mahupun sebarang maklumat yang diperolehi ketika ini. Kesemuanya dilakukan dengan kerjasama pihak-pihak berkuasa antarabangsa,” ujar beliau menerusi satu kenyataan media.

Tambah Hishamuddin, sepanjang tempoh penyiasatan, maklumat dan petunjuk baru sentiasa muncul dan beliau secara konsisten mahukan maklumat-maklumat tersebut disahkan dengan betul dan setiap bukti disahkan sebelum tindakan susulan diambil.

“Bagi kepentingan umum, saya juga berkongsi setiap perkembangan penyiasatan secara berjadual terutamanya semasa taklimat media harian dan temuramah.

“Malangnya, sehingga perkhidmatan saya berakhir sebagai Pemangku Menteri Pengangkutan, pasukan penyiasat tidak pernah melaporkan kepada saya sebarang jawapan konklusif,” tegas beliau.

Hishamuddin turut merayu kepada mana-mana pihak yang mempunyai maklumat relevan berkaitan insiden tersebut untuk tampil membantu pihak berkuasa.

Pesawat MH370 hilang pada 8 Mac 2014 selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Beijing. Ia gagal dihubungi selepas 40 minit selepas berlepas ketika berada di Laut China Selatan. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.