Wabak Koronavirus: Antara Kekuasaan Allah Dan Kelemahan Pentadbiran PH

BERITA mengenai penularan wabak novel Coronavirus dari Wuhan, China bukan sahaja menggemparkan seluruh Malaysia, malah menjadi isu yang sangat menakutkan diseluruh dunia. Laporan Al Jazeera, CNN, BBC dan beberapa media mega lain menunjukkan betapa parah virus pembunuh itu mampu membunuh manusia dengan pantas, hanya melalui pernafasan dan sentuhan manusia.

2. Setakat ini, angka kematian mencatatkan hampir 80 orang dan semakin meningkat dari hari ke hari. Angka kes positif koronavirus pula kira-kira 2000 kes termasuk empat kes daripadanya di Malaysia. Rakyat Malaysia menyuarakan kebimbangan serta kegusaran mereka disebabkan beberapa tindakan kerajaan yang masih tidak menjamin apa-apa tentang pengawalan pelancongan China ke negara ini. https://www.google.com/amp/s/www.bbc.co.uk/news/amp/world-asia-china-51259649

3. Ketika berada di Syria dalam Misi Bantuan Musim Sejuk kepada pelarian Syria, saya melihat satu sudut yang mengubah getar hati mengenai besarnya hikmah, ujian, serta cabaran Allah SWT kepada umat manusia. Di sebalik ujian, terkandung ilmu dan Maha Suci Allah yang berkuasa mencipta sesuatu, seperti terkandung dalam Surah Al Baqarah ayat 155-156 :

(وَلَنَبۡلُوَنَّكُم بِشَیۡءࣲ مِّنَ ٱلۡخَوۡفِ وَٱلۡجُوعِ وَنَقۡصࣲ مِّنَ ٱلۡأَمۡوَ ٰ⁠لِ وَٱلۡأَنفُسِ وَٱلثَّمَرَ ٰ⁠تِۗ وَبَشِّرِ ٱلصَّـٰبِرِینَ)

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.

(ٱلَّذِینَ إِذَاۤ أَصَـٰبَتۡهُم مُّصِیبَةࣱ قَالُوۤا۟ إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّاۤ إِلَیۡهِ رَ ٰ⁠جِعُونَ)

(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.”

4. Koronavirus adalah satu ujian terbesar dari Tuhan sekalian alam yang manusia sendiri tidak mampu untuk membendung dengan petikan jari. Ketika ini, para saintis bertungkus-lumus mencari penawar hingga mereka sendiri menjadi keliru, sedih, kecewa. Malah, pakar perubatan yang merawat mangsa juga meninggal dunia akibat jangkitan virus di hospital Wuhan semasa menjalankan tugas menyelamat manusia.

5. Ia justifikasi kepada kuasa Allah, yang berkuasa menjadikan dunia ini seaman-aman dunia, dan sekelip mata Dia mampu jadikan dunia milikNya ini menjadi huru-hara.

6. Apakah kita pernah berfikir mengapa ini terjadi? Sedangkan Allah berfirman

(… فَٱعۡتَبِرُوا۟ یَـٰۤأُو۟لِی ٱلۡأَبۡصَـٰرِ)
Ambillah pengajaran wahai orang-orang yang mampu melihat.

[Surat Al-Hashr: 2]

7. Jawapannya terletak pada diri kita sendiri yang khianat kepada diri dan melakukan kerosakan kepada diri sendiri. Kita mempersendakan hukum, kita menggalakkan LGBT, mempersendekan Al-Quran, kita memperlekehkan junjungan Nabi, malah kita sering menganggap hidup kita langsung tiada kena mengena dengan spiritual dan Islam. Baru-baru ini di negara kita sendiri pendidikan agama selama empat hari seminggu diperlekehkan, tulisan Jawi dijadikan bahan tentangan, dan aktiviti agama di sekolah dianggap membebankan oleh sesetengah pihak.

8. Paling ketara adalah politik dunia kita sendiri yang mengutamakan kemajuan fizikal, tanpa menitik beratkan perihal rohani dan spiritual serta mengisi kelopongan jiwa manusia yang semakin lompong dari nilai ketuhanan dan akhlak Islam.

9. Di dalam kekalutan ini, ketika inilah rakyat memberi harapan penuh kepada politik dan kerajaan Malaysia untuk mencegah, membendung, dan mengurus dengan bijaksana. Pengurusan haruslah mengikut akal yang benar serta berpandukan ilmu, bukan tindakan mengejar kekayaan dan keuntungan semata-mata.

10. Saya terkilan dengan kenyataan beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang gagal membatalkan visa automatik pelancongan China, sedangkan realiti sudah mereka tahu betapa tingginya ketakutan rakyat Malaysia dalam menerima ancaman yang cukup bahaya.

11. Sedangkan Filipina secara tegas menjaga nyawa rakyatnya dengan ‘menghalau’ balik pelancong dari Wuhan agar keberangkalian virus pembunuh tidak merebak ke dalam tiap tubuh badan rakyat Filipina. Russia juga dengan tegas menyekat kemasukan warga China dengan pembatalkan penerbangan mereka melibatkan pelancong tanah besar China dan mengetatkan sempadan agar tiada siapa dari Wuhan lolos memasuki negaranya. Hong Kong mengisytiharkan darurat selepas larangan pelancong Wuhan ke negara mereka untuk keselamatan warga mereka.

11. Sementara di Malaysia, betapa rapuh mereka mentadbir dengan mempertaruhkan nyawa rakyat Malaysia dengan dogma kepada rakyat ‘ia tidak apa-apa’ sedangkan musibah sains itu tidak pernah wujud penawar hingga kini! Beberapa pelancong Wuhan yang dijangkiti virus telah pun lolos dari Singapura ke Malaysia dengan jalan darat hingga terpaksa dirawat di Hospital Sungai Buloh dan merisikokan warga kerja dan pesakit di Sg Buloh.

12. Dahulu, PH mendabik dada menyatakan mereka berada dalam kebenaran apabila menuduh Barisan Nasional (BN) menjual negara kepada China. Sekarang, ianya menjadi karma apabila virus Koronavirus turut menyerang Malaysia dan kerajaan baharu pula seolah-olah ‘menjual nyawa orang Malaysia’.

13. Berapa banyak lagi kerosakan yang mahu dilakukan wahai kepimpinan negara?

14. Apakah kematian dan penyakit berjangkit yang diuji Allah mengatasi Sains, tidak memberi apa-apa pengajaran kepada kita?

15. Kepimpinan dan politik harus kembali kepada dasar yang betul seperti disyorkan dalam Al-Quran kerana kalam Allah lebih lengkap dan terdiri bermacam ilmu untuk dijadikan panduan.

16. Politik juga adalah dari rakyat, maka kepada rakyat politik itu harus menyumbang bakti. Politik yang baik juga perlu berorentasikan rakyat, bukan keegoaan ahli politik itu sendiri.

17. Sama-sama kita merasa insaf dan mengambil dugaan ini dengan penuh keperluan ilmu, serta menjaga kebersihan diri agar terhindar dari serangan kematian ini.

18. Solidariti Muafakat Nasional akan terus bersandarkan kebajikan, keselamatan yang selari dengan pembangunan rakyat berteraskan ilmu-ilmu serta penghormatan yang setara untuk semua bangsa.

19. Sesungguhnya kepada Allah jua kita meminta pertolongan dan kepada Allah saya berserah diri. – UMNO ONLINE

Khaidhirah Dato Seri Abu Zahar
Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia