Harga Sebuah Kemenangan Yang Disyukuri
ALHAMDULILLAH, syukur atas kemenangan ini, terima kasih pengundi Parlimen Kimanis atas sokongan dan kepercayaan anda kepada Barisan Nasional (BN). Kemenangan Datuk Mohamad Alamin dengan majoriti 2,029 merupakan satu testimonial politik bagi orang Kimanis dan rakyat Sabah amnya. Ia juga sebagai kesinambungan daripada siri-siri kemenangan UMNO, BN dan Muafakat Nasional pada pilihan raya kecil (PRK) sebelum ini.
Sesuatu di luar jangka apabila PRK Kimanis telah mencatat peratusan yang keluar mengundi sebanyak 79.92 peratus, tertinggi berbanding sembilan PRK sebelum ini. Malah melebihi jangkaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mensasarkan 70 peratus sahaja. Saya yakin bagi mereka yang terlibat secara langsung sepanjang tempoh berkempen di PRK Kimanis pasti dapat merasai kelainan berkempen di sini, malah saya sendiri dapat merasai keunikan tersebut apabila bertemu dan beramah mesra dengan pengundi. Bahkan bukan sesuatu yang mudah untuk kita menilai dan meneka tahap penerimaan dan penolakan pengundi kepada mana-mana calon yang bertanding. Malah Ketua Penyelidik Ilham Centre, Dr Mohd Yusri Ibrahim mengakui pihaknya telah terkhilaf di Kimanis “Setelah sekian lama Ilham Centre mengekalkan ketepatan dalam meramal pemenang dalam siri-siri PRK, kami terkhilaf di Kimanis,” katanya dalam hantaran di laman Facebook.
Peratusan pengundi muda yang mengundi calon BN juga meningkat melebihi 60%. Ini adalah petanda baik kepada BN bagi menarik lebih ramai lagi pengundi muda menyokong dan bersama BN dalam PRU ke15 nanti. Adakah penolakan anak muda terhadap calon Warisan adalah sebagai tanda protes mereka terhadap dasar kerajaan negeri dan Pakatan Harapan (PH)?
Sesuatu yang memeranjatkan apabila tiba-tiba Kerajaan Negeri Sabah membuat keputusan membatalkan pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS). Sedangkan sebelum ini mereka mempertahankannya atas alasan sebagai penambahbaikan kepada sistem sedia ada. Menurut Ketua Menterinya “keputusan terbabit dibuat selepas Kerajaan Negeri mengambil kira faktor suara rakyat Sabah yang menolak PSS termasuklah dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis”. Tahniah kepada rakyat Sabah, Kimanis membuktikan perjuangan menentang pelaksanaan PSS tidak sia-sia. Akhirnya kerajaan negeri terpaksa akur dengan tuntutan rakyat. Inilah yang dikatakan suara rakyat suara keramat, jika rakyat sudah memutuskan kehendak mereka tiada siapa yang mampu menghalangnya. Lapan Puluh tahun lalu, penyair agung Ahmad Syawqi pernah berkata:
Era pemerintahan autokrasi wahai Firaun sudah berlalu
Negara berpemerintah kuku besi juga sudah berakhir
Hari ini semua rakyat jelata di mana sahaja bumi dipijak
Hanya tunduk kepada kuasa rakyat.
Kebangkitan ‘intifadhah’ rakyat tidak boleh dipandang remeh. Saya berkeyakinan melalui Muafakat Nasional agenda kebangkitan rakyat dapat dicapai, kerana agenda kemanusiaan, pembelaan, keadilan, kestabilan dan keharmonian menjadi landasan perjuangan UMNO dan PAS semenjak penubuhannya.
Semalam, ketika menerima kunjungan delegasi Hamas yang diketuai Ismael Haniyya isu kemanusiaan, penindasan, nasib dan masa depan rakyat Palestin antara perkara yang dibincangkan. Saya berpendapat “Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mesti menghentikan penindasan dan keganasan Israel terhadap rakyat Palestin”. Masalah Palestin bukan baharu, masalah lama yang memerlukan sokongan dan dokongan daripada umat Islam. UMNO tetap komited membantu Hamas dan perjuangan rakyat Palestin sedaya mungkin walaupun kita bukan lagi kerajaan. Jika dihayati bait-bait lagu Kebangsaan Palestin kita akan dapat merasai betapa kental dan teguhnya mereka dalam perjuangan mempertahan dan membebaskan negara mereka daripada cengkaman Israel “Saya akan hidup sebagai seorang wira, saya akan kekal sebagai wira, dan saya akan mati sebagai seorang wira sehingga negara saya kembali dibebaskan…”.
Belum genap seminggu kemenangan BN di Kimanis disyukuri, kita menyaksikan ada harga yang perlu dibayar di sebalik kemenangan tersebut. Antaranya pendakwaan terpilih ke atas dua orang pemimpin UMNO di mahkamah Sesyen 9 dan 14, tiga hari lepas. Adakah pendakwaan ini salah satu proses pembunuhan karakter ‘character assassination’ politik pemimpin UMNO? Adakah pendakwaan ini sebagai usaha bagi mengalih isu kepincangan dan kebobrokan yang dialami oleh PH? Saya yakin Dato’ Seri Ahmad Maslan dan Tan Sri Shahrir Abdul Samad mampu menghadapi tribulasi ini dengan tabah dan yakinlah kebenaran akan menjelma jua, Sepertimana pantun yang diungkapkan oleh Tok Mat di luar mahkamah:
Panglima berani pantang kalah
Badan sasa kehitaman
Saya ini tidak bersalah
Jadi mangsa kezaliman
Muafakat Nasional juga diuji. Pelbagai cerita dan andaian separa matang telah disebarkan secara meluas di media sosial. Cerita dan andaian ini dibuat dan disebarkan bertujuan untuk menimbulkan rasa sangsi rakyat kepada Muafakat Nasional dan ingin melemahkan ikatan yang telah dijalinkan antara UMNO dan PAS melalui Muafakat Nasional. Ingin saya tegaskan walau apa jua cabaran, dugaan dan ujian yang bakal dihadapi, UMNO akan terus istiqomah mempertahankan dan menjayakan Muafakat Nasional sebagai naratif politik baharu tanah air. Semoga kita terus dikurniakan kekentalan dan keteguhan untuk terus beristiqomah bersama Muafakat Nasional. Sebagai tanda sokongan dan dokongan kita kepada Muafakat Nasional, saya menjemput seluruh rakyat hadir ke program Ceramah Perdana Muafakat Nasional peringkat negeri Perak yang turut di hadiri oleh Presiden PAS dan kepimpinannya, pada 25hb Januari 2020, jam 8.00 malam, di Kompleks UMNO Bagan Datuk.
AHMAD ZAHID HAMIDI
#salammuafakatnasional
#umnosebuahperjuangan
#muafakatnasionalpemacupolitikmalaysia
#muafakatmenujukemenangan