Setia Dengan UMNO, Tidak Akan Ikut Lompat Jadi Katak – Abdullah Okin

KIMANIS, 14 Jan – Pemangku Ketua UMNO bahagian Beaufort Abdullah Okin berkata, walaupun abangnya Lajim Okin telah melompat parti, tetapi dirinya sedikit pun tidak akan terpengaruh untuk sama-sama menjadi ‘katak’.

Ujar beliau, hanya perjuangan Barisan Nasional (BN) dan UMNO adalah sebenar-benar perjuangan yang sentiasa membela nasib rakyat.

“Sudah dua ketua saya lompat tapi saya tidak ikut… walau abang, saudara dan sepupu saya keluar tapi saya tetap dalam UMNO dan BN sebab saya tidak ada kepentingan. Saya mahu teruskan perjuangan… saya tidak akan lari.

“Abang saya pujuk banyak kali tapi saya tidak berubah kerana saya mahu memperjuangkan anak bangsa. Ini perjuangan sebenar. Sekarang banyak ‘katak’ lompat sebab ‘hujan’ banyak sangat,” ujar beliau ketika berkempen di PDM Mawao bersempena dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis.

Tambah Abdullah, walaupun ada yang mengatakan bahawa UMNO telah berkubur dan berbatu nisan di Sabah ini namun hakikat sebenarnya, UMNO Sabah masih utuh malah semakin kukuh.

“Ada yang cakap UMNO Sabah telah berkubur dan berbatu nisan tapi tidak ada satupun cawangan UMNO yang ditutup di Sabah ini. Ini semangat yang begitu kuat ditunjukkan oleh akar umbi.

“Maka mari kita teruskan perjuangan sebab sebelah sana banyak yang tidak betul. Ini berbeza dengan BN… janji BN telah terbukti selama ini dikota.

“BN sebenar tidak kalah di Sabah. Kalau tidak ada penderhaka, kita tidak akan jadi pembangkang di Sabah ini. Jadi, PRK Kimanis ini kita mesti undi calon nombor satu Datuk Mohamad Alamin bagi menunjukkan kepada mereka bahawa UMNO Sabah tidak kalah,” tegas beliau. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.