PRK Kimanis: Isu Dan Kepentingan Rakyat

KEMPEN Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis semakin rancak. Jentera UMNO, Barisan Nasional (BN) dan Muafakat Nasional berkampung serta bertungkus-lumus menyakinkan pengundi Kimanis untuk menyokong dan memilih calon BN pada 18 Januari nanti.

Kali kedua turun berkempen dan bertemu pengundi di Kimanis dua hari lepas, saya dapat rasakan denyut penerimaan dan sokongan pengundi Kimanis kepada calon BN, Tok Moh semakin meningkat.

Kehadiran dan sokongan yang diberikan oleh mantan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman turut memberikan nilai tambah kepada kempen BN.

Saya juga berasa kagum dengan gerak kerja tersusun yang dilakukan oleh UMNO Sabah. Saya juga berterima kasih kepada rakan-rakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Pemuda dan Puteri, walaupun dalam keadaan serba kekurangan mereka tetap membantu UMNO Sabah dengan berkampung, berkempen serta bertemu pengundi-pengundi di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Kimanis, demi sebuah perjuangan. Demi sebuah kemenangan.

Isu Pas Sementara Sabah (PSS) yang akan berkuatkuasa pada 1 Jun 2020 antara topik hangat yang dibincang dan diperdebatkan dalam siri-siri ceramah dan kempen PRK Kimanis.

Saya menyangkal sekeras-kerasnya dakwaan yang menyatakan cadangan PSS sudah dimulakan oleh Kerajaan BN. Sewaktu saya menjadi pengerusi kepada Jawatankuasa Pelaksanaan RCI, tidak ada cadangan dari RCI dan jawatankuasa teknikal supaya PSS dilaksanakan. “Tuduhan tersebut tidak benar….. saya mengetahui kerana saya jadi pengerusi yang dilantik oleh Jemaah Menteri bersama Ketua Menteri ketika itu”.

Jangan kerana kerajaan negeri merasa goyah dan tergugat dengan isu PSS kerajaan terdahulu dipersalahkan. Pelaksanaan PSS ini juga mendapat bantahan daripada parti pembangkang berasaskan Kadazandusun Murut di Sabah, seperti Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Progresif Sabah (SAPP), Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Parti Kerjasama Anak Negeri Sabah (Anak Negeri).

Malah NGO tempatan, Pertubuhan Penambahbaikan Pendidikan Orang Awam Sabah (Pipa) dan Solidariti Rakyat Sabah (Sorak) akan mengadakan bantahan terhadap PSS di bandar Membakut di Kimanis pada 15 Januari, tiga hari sebelum pengundian pada PRK Kimanis. Ini menunjukkan rakyat Sabah menolak pelaksanaan PSS.

Kerajaan perlu mengkaji semula pelaksanaannya. Jangan kerana kepentingan politik, kepentingan rakyat Sabah diremehkan.

Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan secara salah rakaman perbualan telefon yang didakwa membabitkan mantan Perdana Menteri bersama beberapa individu lain telah menimbulkan satu polemik baharu kalangan netizen dan warganet.

Apa kaitannya pendedahan tersebut dengan PRK Kimanis? Seolah-oleh sudah menjadi trend atau aliran apabila ada PRK, ada sahaja isu baharu didedahkan dengan tujuan-tujuan tertentu.

Bagi saya tindakan mendedahkan rakaman tersebut telah menyalahi Prinsip Kedaulatan Undang-Undang (Rule of Law). Kesannya bukan sahaja kepada negara tetapi ia juga melibatkan hubungan antarabangsa.

Menjadi harapan besar seluruh rakyat, SPRM sebagai penguatkuasa undang-undang dapat menunjukkan amalan yang betul berlandaskan prinsip Kedaulatan Undang-Undang (Rule of Law) bukan bertindak atas arahan yang berkepentingan.

Kerajaan telah menunjukkan keprihatinan berkaitan isu tanglung. Kehadiran tujuh
Menteri serentak ke Sekolah Menengah Kebangsaan Pusat Bandar Puchong 1 dan menunjukkan solidariti mereka terhadap isu tersebut jelas membuktikan keprihatinan itu.

Alangkah eloknya jika solidariti yang sama dilakukan dalam isu pengajaran tulisan jawi yang diasak dan dikecam hebat oleh Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina (Dong Zong), sesetengah pemimpin dan individu.

Tetapi, yang menyedihkan perkara tersebut tidak berlaku, Menteri senyap seribu bahasa jauh sekali untuk mempertahankannya. Malah ada yang beranggapan tulisan Jawi sudah kuno dan membawa kepada perpecahan, malah ada pemimpin yang beranggapan kaligrafi Cina dapat memupuk semangat perpaduan.

Persoalannya apa sudah jadi? Apa perasaan rakyat khususnya orang Melayu-Islam dengan dua layanan berbeza ini? Jangan kerana mengharapkan sesuatu keuntungan yang belum pasti, apa yang dimiliki hari ini dilepaskan seperti “kura-kura di kaki ditinggalkan, burung terbang dikejar”.

Penting bagi UMNO, BN dan Muafakat Nasional menolak budaya politik yang meletakkan kehendak politik pihak tertentu melebihi kepentingan dan nasib rakyat.

Melalui Muafakat Nasional kita bentuk budaya baharu dalam politik yang meletakkan agama, bangsa dan negara sebagai tunjangnya.

Abdul ‘Atiy Muhammad Ahmad dalam bukunya al-Fikr al-Siyasiy li al-Imam Muhammad Abduh mengungkapkan bahawa “Sesungguhnya ideologi menggambarkan aspirasi rakyat yang banyak mempengaruhi perubahan budaya ke arah melahirkan nilai-nilai baik menuju kecemerlangan, berpolitik juga pada akhirnya membentuk budaya dan nilai yang turut membentuk tingkah laku politik”.

AHMAD ZAHID HAMIDI
#salammuafakatnasional
#umnosebuahperjuangan
#muafakatnasionalpemacupolitikmalaysia

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.