PRK Kimanis: Sokongan Rakyat Terhadap BN Petanda Baik

KIMANIS, 6 Jan – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir melahirkan rasa terkejut dan bangga melihat ribuan penyokong Barisan Nasional (BN) memberikan sokongan kepada Datuk Mohamad Alamin pada hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis, Sabtu lalu.

Jelas beliau, kehadiran jentera bersama penyokong parti dalam jumlah yang sangat besar adalah sesuatu yang amat menarik dan petanda amat baik kerana selepas BN tewas pada PRU(14), ramai pemimpin UMNO Sabah yang telah melompat parti.

“Agak menarik sebab Sabah bukan di bawah BN lagi jadi apabila melihat sokongan kepada calon BN di Kimanis ini saya dapat melihat begitu ramai penyokong BN yang penuh bersemangat.

“Semangat mereka ini benar-benar kental dan tinggi. Ini sebenarnya mengejutkan saya kerana kita tahu suasana di Sabah ini selepas PRU-14… seolah-olah satu kapal meninggalkan BN menyebabkan ahli di bawah kehilangan ‘ibu dan bapa’ tapi anak-anak di bawah ini rupanya semangat mereka begitu tinggi.

“Mereka telah membentuk semangat yang begitu kuat. Ini memberikan satu impak yang baik kepada BN dalam PRK ini,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Zambry, melihatkan semangat yang tinggi ini maka tidak mustahil sekiranya BN akan membuat kejutan di Kimanis sama seperti di Tanjung Piai.

Bercakap soal calon Zambry berkata, pemilihan Mohamad Alamin mewakili BN adalah sesuatu yang tepat kerana beliau mempunyai latar belakang yang baik.

“Saya yakin Mohamad Alamin mampu diterima baik disini sekaligus membawa kemenangan kepada BN,” ujar beliau.

PRK Kimanis menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN dengan calon Warisan, Karim Bujang.

PRK parlimen Kimanis diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 2 Dis lepas mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan Anifah Aman bagi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.