Warisan Untuk Sabah? Jika Benar Keluarlah Dari Anggota Jemaah Menteri – Khairy

KIMANIS, 5 Jan – Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata menteri pusat daripada parti Warisan perlu keluar daripada menganggotai jemaah kabinet sekiranya mereka mengatakan parti Warisan adalah Sabah untuk Sabah.

“Saya dengar waktu penamaan calon, cakap-cakap daripada penyokong parti Warisan yang menyatakan bahawa parti BN adalah parti Malaya. Jadi kita menolak parti Malaya. Kita mesti sokong parti Sabah untuk Sabah.

“Kalau betul parti Warisan ini Sabah untuk Sabah dan bukan ahli gabungan Pakatan Harapan (PH) tetapi cuma kerjasama sahaja minta mereka keluar daripada jemaah menteri pusat. Menteri Pelancongan keluar, Menteri Pelaburan Antarabangsa keluar dan Menteri Undang-Undang keluar.

“Kalau tidak sama sahaja. Walaupun bukan ahli gabungan PH tetapi menyokong dasar kerajaan daripada semenanjung. Jadi sama dan mereka pun faham,” katanya ketika berceramah di Pusat Daerah Mengundi batu 6, di sini, Sabtu malam.

Turut berceramah Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, Timbalan Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Yaakub Khan dan Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan.

Tambah Khairy, UMNO Sabah hari ini ada kelainan yang tersendiri menerusi autonomi.

“Kita berikan kuasa kepada UMNO negeri. Maksudnya pilih pemimpin sendiri. Pengerusi UMNO Sabah pilih di kalangan UMNO Sabah. Tidak perlu Presiden UMNO beritahu siapa. Calon daripada Sabah kita serahkan kepada UMNO dan BN Sabah pilih calon yang mereka tetapkan.

“Jadi di sini nampak BN Sabah bukan parti Malaya tetapi sudah ada kuasanya sendiri, sudah ada kebebasannya sendiri. Kalau nak kata UMNO Sabah BN Sabah masih bergabung dengan UMNO Malaysia dan BN Malaysia tidak mengapalah sebab kita mahu ada kekuatan untuk memerintah satu negara.

“Satu hari nanti PRU-15 bekat doa insya-Allah BN menang semula di Putrajaya dan di Sabah sama-sama kita bergabung bangkitkan semula negeri Sabah. Jadi jika ditakdirkan pada waktu kita ada kuasa di pusat, Datuk Yaakub Khan ada kuasa di Sabah, kita akan turunkan banyak lagi kuasa. Tidak perlu Kuala Lumpur bila nak bina lapangan terbang dan sebagainya. Kita sediakan duit. Sabah di bawah BN tentukan nak buat apa.

“Tetapi mesti ada muafakat dan kerjasama bersama dengan pusat. Jangan sampai sentimen kenegerian ini membutakan kita terhadap keperluan untuk kita bekerjasama. Sama juga dengan Parti Warisan. Warisan cakap parti Sabah untuk sabah. Kalau begitu tidak perlu jadi menteri di pusat tetapi hari ini masih menjadi menteri di pusat kerana mereka juga tahu kena kerjasama dengan pusat,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.